Paras air Empangan Pergau normal

Iklan
Muhamad Azli

KOTA BHARU - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan hari ini mengesahkan paras air di Empangan Hidroelektrik Pergau Jeli berada pada paras normal.

Kenyataan itu sekali gus menafikan berlakunya limpahan takungan air dari empangan terbabit seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

Iklan
Iklan

Ketua Perkhidmatan Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Bahagian Retail TNB, Muhamad Azli Ab Rahim berkata, sehingga jam 3 petang tadi, air di Empangan Pergau keluar seperti kebiasaan untuk tujuan penjanaan kuasa tanpa sebarang limpahan.

"Air yang dilepaskan itu masuk dalam kolam aturan dan keluar melalui pintu ke Sungai Pergau serta tidak ada kaitan dengan kejadian banjir mendadak di Kampung Chuchoh Puteri Kuala Krai kelmarin seperti dakwaan sesetengah individu di laman sosial.

Iklan

"Air yang dikeluarkan tersebut adalah mengikut prosedur operasi standard yang biasa bagi menjaga kuasa dan dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Tengah Hari TNB bersama Media Kelantan di Hotel Perdana di sini hari ini.

Iklan

Muhamad Azli turut meminta masyarakat supaya tidak menularkan berita palsu berkaitan empangan tersebut hingga boleh menggusarkan rakyat di negeri ini.

"Tidak berlaku limpahan air, tidak ada empangan pecah walaupun pada banjir 2014 lalu juga tidak berlaku sebarang limpahan.

"Sejak empangan ini beroperasi bermula 1997 tidak pernah ada limpahan air dan pihak kami tidak mengetahui dari mana datangnya berita-berita tidak benar tular berulang-ulang saban tahun setiap kali musim tengkujuh,” katanya.

Katanya, beliau juga meminta orang ramai supaya merujuk sumber yang sahih atau melayari Facebook TNB Careline https://www.facebook.com/TNBCareline/ untuk maklumat tepat dan rasmi.

"Sekiranya ada kejadian seperti empangan pecah atau air limpah dan sebagainya sudah tentu siren amaran dibunyikan terlebih dahulu dan kami akan meminta penduduk sekitar supaya berwaspada serta berpindah,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, 40 pencawang elektrik TNB di sepuluh daerah di negeri ini yang dinaik taraf ke kedudukan lebih tinggi kekal selamat.

"Bekalan ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam keadaan baik dan tidak yang terputus atau pencawang tenggelam,” katanya.