Geng curi mesin bitcoin diberkas

Iklan
Noorzainy (tengah) menunjukkan mesin server bitcoin yang dirampas.

KEPALA BATAS - Seramai 10 individu termasuk dua warga Indonesia diberkas polis selepas dipercayai terlibat dengan kes kecurian mesin bitcoin pada 27 Ogos lalu di Pusat Bandar Bertam di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tangkapan itu dibuat bermula September sehingga 27 November lalu di Kulim dan Sungai Petani.

Iklan
Iklan

Polis turut merampas 42 set mesin server dan 28 mesin jana kuasa mata wang elektronik yang dianggarkan bernilai RM84,000.

Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia 21 hingga 37 tahun dan mempunyai peranan masing-masing dalam sindiket itu.

Iklan

"Polis turut menahan seorang lelaki yang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli mesin server dan jana kuasa berkenaan," katanya.

Noorzainy berkata, polis sebelum ini menerima laporan daripada seorang pemilik stor server bitcoin yang kehilangan 20 set mesin server dan jana kuasa selepas premisnya dipecah masuk sekumpulan lelaki.

Iklan

"Dalam kejadian jam 5.10 pagi, mangsa menerima isyarat menerusi telefon bimbitnya bahawa kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stor tersebut telah diganggu sebelum bergegas ke lokasi itu.

"Bagaimanapun, pandangan CCTV telah dialih dan lelaki itu mendapati sebuah kereta Proton Saga di hadapan pintu premisnya manakala dua suspek sedang memanjat tangga.

"Ketika itu seorang lagi suspek berada di tempat pemandu. Pemilik premis itu bertindak meletakkan kenderaannya di hadapan kereta suspek bagi menghalang mereka melarikan diri," katanya pada sidang media di sini.

Bagaimanapun Noorzainy berkata, sebuah kereta Proton Wira menghampiri kenderaan pemilik stor itu sebelum seorang lelaki keluar dan menghentak cermin depan kereta mangsa dengan besi.

Katanya, mangsa yang bimbang diancam cuba mengundur kenderaannya sebelum kereta Proton Saga yang dipandu suspek melanggar bahagian depan kereta mangsa dan melarikan diri.

Selepas mendapati keadaan selamat, mangsa kemudiannya membuat pemeriksaan di dalam premisnya dan mendapati 20 set mesin serta penjana tenaga bitcoin telah dicuri.

"Susulan laporan yang dibuat mangsa, kita telah menggerakkan Ops Cantas dan Ops Pintu bagi mengesan suspek yang terlibat.

"Hasil risikan dan intipan akhirnya berjaya menumpaskan sindiket yang didalangi lelaki berusia 37 tahun yang turut menjalankan perniagaan bitcoin di Sungai Petani," katanya.

Beliau berkata, sembilan lagi suspek termasuk seorang wanita Indonesia itu melakukan jenayah pecah stor atau premis yang menjalankan perniagaan bitcoin sebelum mereka mencuri mesin serta penjana tenaga bitcoin yang bernilai RM3,000 setiap unit.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket itu terlibat lima kes pecah stor dan curi mesin bitcoin di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Sungai Petani serta Kulim sejak beberapa bulan lalu membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit.