PENYERANG Harimau Muda, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak melaungkan keyakinan Malaysia mampu mengalahkan Kemboja pada saingan akhir Kumpulan A Sukan SEA 2019.
Rekod buruk menentang Kemboja tahun ini tidak boleh dijadikan alasan buat skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara meneruskan cabaran ke separuh akhir.
Beliau juga menyatakan keyakinan rakan sepasukan akan bangkit membenam pasukan itu di Stadium Rizal Memorial, Manila malam esok.
"Diharapkan kekalahan (sebelum ini kepada Kemboja) tidak menjejaskan semangat pasukan. Saya ambil ia sebagai suntikan semangat untuk mempamerkan prestasi lebih baik.
"Kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan kerana setiap pasukan ada kelebihan dan kekuatan masing-masing. Saya harap semua dapat berikan yang terbaik,” katanya hari ini.
Beliau turut mengakui jaringan dan kemenangan ke atas Timor Leste malam tadi menyuntik keyakinannya.
"Syukur saya dapat menjaringkan dua gol. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua jurulatih dan pemain kerana memberi komitmen 100 ke 200 peratus.
"Ini keputusan yang baik buat kita, walaupun sebenarnya kita boleh dapat lebih banyak gol, tapi empat ini pun saya rasa bersyukur. Saya harap kita dapat teruskan (momentum ini) untuk aksi menentang Kemboja," katanya.