BIDANG sukan dilihat masih mampu menjadi landasan dalam memupuk perpaduan antara kaum. Bagi Merak Jalanan, ini bukan retorik tapi satu realiti yang berlaku.
Biarpun berlainan fahaman politik, berbeza agama dan bangsa namun ketika menyokong pasukan negara yang bertanding, tembok yang tebal itu boleh dihapuskan.Contohnya, apabila pasukan Harimau Malaya bertanding, semua sempadan terhapus dengan sendirinya kerana kita memberi fokus agar kemenangan dapat dicapai.
Semuanya bersatu. Sama-sama bersorak, sama-sama menjerit dengan satu citra - Harimau Malaya perlu menang. Bila kalah, sama-sama kecewa. Tapi menang sama-sama, kalah pun sama-sama.
Sukan dapat menyatukan rakyat kerana sukan adalah agen perpaduan. Aktiviti bersukan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan pada masa sama menerapkan disiplin dan integriti dalam kalangan peserta.
Oleh kerana besarnya impak sukan kepada masyarakat, Sinar Harian, syarikat tempat Merak Jalanan bekerja bersama akhbar Sin Chew Daily menganjurkan program Sukan Tanpa Diskriminasi pada 15 Disember ini.
Dengan tagline #KITALAHMALAYSIA, program sukan ini akan disertai rakyat berbilang kaum yang akan bertanding dalam dua acara iaitu Street Soccer 4on4 dan Basketball 3on3.
Program bermula jam 8 pagi di pekarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam.
Pertandingan ini bukan saja-saja kerana ada habuan besar yang menanti. Hadiah wang tunai berjumlah RM15,200 menanti pasukan bertuah.
Johan bakal membawa pulang RM3,000, naib johan RM2,000, ketiga RM1,200 dan keempat RM800. Empat pasukan berjaya ke suku akhir menerima RM150.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan antaranya e-sports, penalty shootout, basketball shootout dan persembahan pentas.
Jadi kepada sesiapa yang berminat, boleh hubungi Mohd Firdaus Ishak di talian 019-3087158 atau 03-51017402 dengan segera.