Makin ramai rakyat Malaysia mudah tertipu

Iklan
Sailful Azly menunjukkan barang rampasan setelah pihak polis menjalankan operasi November lalu.
KES penipuan berbentuk tawaran Pinjaman Tidak Wujud (PTW) daripada penjenayah yang mengaku sebagai ejen sesebuah bank berada pada tahap membimbangkan kerana hampir setiap hari ada sahaja mangsa tertipu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, sindiket PTW tersebut melibatkan jumlah kerugian bernilai RM36 juta wang milik mangsa setakat November tahun ini.

"Kebanyakan mangsa tertipu dengan ejen bank yang menyamar ini selalunya hanya berhubung ataupun memproses pinjaman itu melalui aplikasi WhatsApp sahaja.

"Jadi, mudah untuk sindiket itu melakukan kerja mereka menipu mangsa. Seharusnya, apabila menerima WhatsApp sebegitu, rujuk kembali kepada bank dan tanya kesahihan," katanya.

Menurutnya, orang ramai juga seharusnya tidak membayar wang pendahuluan kepada ejen tersebut kerana bank tidak pernah meminta wang pendahuluan untuk menguruskan pinjaman.

"Berdasarkan rekod JSJK, aktiviti penipuan ini semakin mula membimbangkan sejak Oktober tahun lalu sehingga hari ini.

"Ini berikutan jumlah mereka yang ingin membuat pinjaman atau terpedaya dengan helah sindiket berkenaan semakin bertambah," katanya.