KUALA KRAI - Penduduk Kampung Chuchoh Puteri A kecewa selepas gambar keadaan banjir yang tular di media sosial semalam dikatakan palsu dan peristiwa lama.
Mereka mendakwa banjir berkenaan lebih serius dari tahun 2014 dan mahu masyarakat melihat sendiri keadaan di kampung berkenaan.
Mangsa, Salahudin Hamid berkata, gambar yang ditularkan di media sosial oleh penduduk kampung berkenaan adalah benar
"Ramai yang tidak percaya kawasan ini ditenggelami air dan kami terkandas kerana lokasinya di atas bukit.
"Kami juga tidak menyangka keadaan seteruk ini malah ada yang tuduh gambar berkenaan adalah kejadian 2014. Ia sama sekali tidak betul malah tahun ini lebih teruk," katanya.
Justeru, Salahudin mahu mereka yang tidak percaya datang ke kampung berkenaan untuk melihat keadaan penduduk yang memerlukan tempoh sebulan untuk memulihkan persekitaran dan kediaman mereka.
Fauziah Nawi, 40, pula menceritakan dia hampir dihanyutkan arus ketika berusaha menyelamatkan diri daripada banjir kerana air naik secara tiba-tiba dari arah belakang rumah.
"Ketika itu air berada pada paras paha saya. Nasib baik ada pokok untuk berpaut ketika saya hampir dihanyutkan air. Sehingga kini saya masih tidak boleh melupakan insiden itu.
Fauziah kecewa kerana sehingga kini tidak banyak bantuan yang disalurkan kepada penduduk malah dia hanya menerima sekampit beras dan biskut sahaja," katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan lebih 20 keluarga di kampung ini terkandas apabila dilanda banjir secara mengejut.