Pilihan raya Presiden AS: Kamala Harris tarik diri

Iklan
Kamala Harris

WASHINGTON - Senator Kamala Harris secara rasmi menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) sebagai calon Demokrat sekali gus mencabar Donald Trump, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik pengumuman wanita berketurunan Afrika Amerika itu dalam laman sesawang Medium.

Harris menyifatkan keputusan itu sebagai antara yang paling sukar dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

"Kepada penyokong saya, ia adalah dengan kekesalan yang mendalam tetapi juga diikuti dengan rasa terima kasih yang tidak terhingga, dengan ini saya mengambil keputusan untuk menghentikan kempen saya pada hari ini.

"Saya ingin menjelaskan bahawa meskipun saya tidak lagi bertanding bagi merebut jawatan Presiden, saya akan melakukan segala yang terdaya untuk menewaskan Donald Trump dan memperjuangkan masa depan negara kita dan apa yang terbaik untuk kita," kata senator dari California itu yang memberi alasan kekangan kewangan adalah punca beliau menarik diri.

Iklan

Pencalonan Harris pada awalnya mendapat sokongan hebat penyokong Parti Demokrat dan beliau adalah antara calon yang memberikan saingan sengit untuk bertanding merebut jawatan presiden atas tiket Demokrat.

Bagaimanapun, selepas individu yang dicalonkan meningkat sehingga melebihi 24 orang, kempen Harris mula menyaksikan kemerosotan dari segi pembiayaan dan populariti apabila terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan sebilangan anggota Parti Demokrat terhadap rekod prestasi kerjayanya sebagai pendakwa.

Iklan

Skor agregat pungutan suara nasional yang disusun oleh laman sesawang RealClearPolitics menunjukkan sokongan terhadap Harris berlegar sekitar 3 peratus selepas mencatat 15 peratus pada awal Julai susulan debat Demokrat pertama yang menyaksikan beliau berpendirian tegas menentang Joe Biden, bekas naib presiden yang kekal sebagai pesaing utama. - Bernama