Mesyuarat khas pilih Agong pada 24 Januari ini

Iklan
Suasana di pekarangan Istana Negara sewaktu tinjauan Mesyuarat Majlis Raja-Raja selepas peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penetapan tarikh mesyuarat khas itu dicapai menerusi mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang diadakan di Istana Negara hari ini yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan dan Raja.

"Mesyuarat khas hari ini dihadiri Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Iklan

"Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah tidak berangkat kerana gering manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pula tidak berangkat kerana berada di luar negara," katanya.

Beliau berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah mengutuskan warkah melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kepada Majlis Raja-Raja menzahirkan hasrat baginda untuk meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa semalam.

Iklan

Mengulas lanjut, Syed Danial berkata, raja-raja yang hadir dalam perjumpaan tersebut telah mengambil maklum dan menghormati hasrat Sultan Muhammad V untuk mengundurkan diri.

"Raja-raja juga menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat yang telah baginda laksanakan dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong bermula 13 Disember 2016 hingga 6 Januari 2019," katanya.