IPOH - Jabatan Imigresen Perak menerima seramai 5,660 permohonan daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di negeri ini untuk pulang ke negara asal masing-masing melalui program Back for Good.
Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, jumlah itu dicatatkan sejak program tersebut bermula pada 1 Ogos lalu hingga 3 Disember dan dijangka akan bertambah sehingga hujung tahun ini.
Menurutnya, mana-mana PATI yang berhasrat untuk pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela melalui program tersebut perlu berbuat segera sebelum 31 Disember ini.
"Daripada jumlah permohonan itu, kita berjaya mengutip kompaun sebanyak RM3.96 juta. Kita minta mana-mana PATI yang berada di sekitar Perak dan majikan yang ingin atau tahu PATI di kawasan mereka supaya datang ke Jabatan Imigresen untuk menjalani program Back for Good ini.
"Ada masa dalam 27 hari jadi datanglah beramai-ramai menyerah diri secara sukarela dan kita akan buka kaunter sepanjang hari. Kalau perlu buka sampai malam kita akan buka. Dalam minggu-minggu akhir ini jumlahnya meningkat, sehari dalam 150 orang datang membuat permohonan," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Imigresen Tahun 2019 Peringkat Negeri Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, mereka yang layak memohon menyertai program ini adalah warga asing yang tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen yang sah.
Menurutnya, warga asing yang berminta menyertai program tersebut perlu ke kedutaan negara masing-masing untuk mendapatkan dokumen perjalanan, kemudian mereka perlu membeli tiket untuk pulang ke negara asal dan membayar kompaun sebanyak RM700.
Beliau berkata, selepas tamat tempoh program berkenaan, pihak imigresen akan memperhebatkan operasi ke atas warga asing dan mana-mana PATI yang ditangkap akan terus dikompaun atau dikenakan tindakan mahkamah.
Katanya, jumlah permohonan paling ramai diterima dalam kalangan PATI warga Bangladesh iaitu 1,907 orang diikuti Indonesia seramai 1,712 orang dan warga India seramai 481 orang.
Sementara itu mengenai kejayaan-kejayaan Jabatan Imigresen Perak pada tahun ini, Kamalludin berkata, pihaknya berjaya menjalankan sebanyak 787 operasi sehingga Oktober lalu berbanding sepanjang tahun lalu hanya 593 operasi.
Katanya, daripada jumlah operasi itu, seramai 2,337 PATI berjaya ditangkap dan 106 warga tempat turut ditahan dengan jumlah kompaun keseluruhan RM1.42 juta.
Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Imigresen Perak juga berjaya mengeluarkan sebanyak 111,310 pasport antarabangsa dan dokumen perjalanan tahun ini sehingga bulan Oktober lalu dengan kutipan hasil RM17.11 juta.
Katanya, pihaknya juga turut mengeluarkan pas lawatan kerja sementara kepada 78,000 warga asing yang bekerja di Perak.
Pada majlis itu juga, Kamalludin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik terdiri daripada beberapa media termasuk Sinar Harian.