Petani rugi RM2.4 juta tanaman ditenggelami banjir

Iklan
Samsudin (kiri) bersama petani lain menunjukkan ubi mereka yang kelihatan cantik diluar tapi rosak di dalamnya.

PASIR PUTEH - Seramai 200 petani mendakwa kerugian RM2.4 juta selepas tanaman ubi vitato dan pelbagai jenis sayuran yang diusahakan di atas tanah seluas 160 hektar di sekitar Tok Bali dekat sini ditenggelami banjir beberapa hari lalu.

Situasi itu menyebabkan punca pendapatan mereka terjejas kerana tanaman berkenaan hanya menunggu masa untuk dituai.

Iklan
Iklan

Wakil petani, Samsudin Mat Nor, 52, mendakwa masalah tersebut berpunca daripada sistem perparitan yang sudah lama tidak diselenggara dengan baik menyebabkan kawasan tersebut ditenggelami banjir akibat hujan lebat.

"Sebelum ini, sistem perparitan diselenggara oleh LKTN (Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara) kerana kami adalah bekas petani yang menanam tembakau satu masa dahulu," katanya.

Iklan

Menurutnya, mereka percaya seandainya sistem perparitan itu diselenggara dengan baik banjir yang melanda kawasan tersebut akan berlaku dalam tempoh yang singkat.

Petani kerugian besar apabila tanaman mereka ditenggelami air banjir.

Katanya, tempoh banjir yang agak panjang dan melebihi beberapa hari itu menyebabkan ubi yang di taman rosak dan gagal diselamatkan.

Iklan

"Pokok nampak cantik secara luarannya namun isinya sudah rosak dan tidak dapat dijual sekaligus menyebabkan kami mengalami kerugian," katanya.

Samsudin berkata, ubi tersebut sepatutnya dituai dalam tempoh dua minggu lagi.

Sementara itu, Mohd Amirudin Mohd Asri, 26, yang mengusahakan tanaman petola berkata, dia tidak dapat mengutip hasil selepas tanaman itu ditenggelami air sedalam 0.7 meter.

Katanya, ekoran banjir itu dia mengalami kerugian lebih RM10,000.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan tanaman yang diusahakan rosak selepas ditenggelami banjir.

Kebanyakan petani terlibat terdiri dari Kampung Haji Wan Omar, Pinggiran Aman, Air Terjun, Pak Mayong dan Projek LKTN Air Tawar.