SHAH ALAM - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkongsi kegembiraan baginda menerusi Twitter @cheminahsayang mengenai anakandanya yang bakal menamatkan kursus ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bakal menamatkan kursus pada 13 Disember ini dan akan kembali ke Malaysia selepas hampir setahun menjalani latihan di akademi tersebut.
Menurut Raja Permaisuri Agong dalam ciapannya memberitahu, baginda bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri majlis perarakan pentauliahan Tengku Hassanal di Sandhurst.
"InsyaALLAH pada 13 Disember, tamatlah kursus ketenteraan Hassanal di Royal Military Academy Sandhurst dan akan pulang balik Malaysia untuk berkhidmat di Regiment 12 Melayu, Kuantan. Alhamdulillah.
"Tuanku Agong dan saya sekeluarga akan hadir di majlis 'Commissioning Parade' Tengku Hassanal di Sandhurst pada 13 Disember ini. InsyaALLAH Pemangku Raja akan pulang ke tanah air selepas menunaikan Umrah pada bulan Januari nanti," tulis baginda.
Sebelum ini, Tengku Hassanal yang telah menamatkan pengajian di Geneva School of Diplomacy and International Relations di Switzerland dalam bidang perhubungan antarabangsa dilantik Pemangku Raja Pahang pada 31 Januari lalu.
Tengku Hassanal antara beberapa anak raja Melayu termasuk Al-Sultan Abdullah pernah dilatih dan di akademi ketenteraan itu sejak berdekad lalu.
Perkongsian Raja Permaisuri kini tular di media sosial dan rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Tunku Azizah dan mendoakan anakanda baginda juga mampu menjadi seorang raja berjiwa rakyat.
Tahniah kepada KDYAM Tengku Hassanal dan KerabatNya..semoga menjadi seorang bakal Sultan Pahang yang disegani, dihormati dan di sayangi oleh sekalian rakyat Pahang Darul Makmur khususnya," tulis @xmbershxh di Twitter.
@croccring pula menulis," sembah kasih kepada Tuanku berdua kerana membenar dan memberikan Tengku Hassanal Tuanku memayungi rakyat Pahang sementara Tuanku berdua memayungi negara."