SHAH ALAM - Perkongsian seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Twitter mengenai kesukarannya selepas kehilangan wang RM50 mengundang sedih netizen.
Bagaimanapun, bantuan daripada seorang lelaki berbangsa Cina dan dua lagi rakannya menguatkan semangat penuntut berkenaan.
@niniekamarudinn menulis di Twitter keadaan dirinya yang kelam-kabut di sebuah pasar raya selepas membeli kipas menyebabkan dia kehilangan RM50.
Bagaimanapun katanya, dua rakan sudi membantu kerana dia enggan meminta duit daripada ibu bapanya kerana nilai itu dianggap besar.
"Aku tak makan sangat dekat UiTM sebab nak berjimat, selagi boleh jimat, aku jimat sebab bila tengok harga buku law, harga barang makanan apa semua, aku ambil keputusan aku kena utamakan keperluan.
"Tapi, ALLAH nak uji aku, tunai RM50 dekat tangan lepas beli kipas, hilang tercicir dalam kedai dekat Tesco. Aku puas cari, tak jumpa, ALLAH sahaja tahu macam mana aku nak menangis, gugur jantung aku, yes RM50 sikit bagi korang tapi bagi aku, itu saja aku nak bertahan.
"Taknak dah mintak kat parents. Cukuplah aku bertahan dengan biskut ke maggi ke apa ke. Aku whatsapp kawan-kawan aku tapi tak semua since aku tahu diorang busy, Alhamdulillah, thank you @Just_Dayat0912 and farhan for the respond and tolong aku," tulisnya.
Penuntut berkenaan turut berkongsi keprihatinan seorang pemandu My Car yang ditempah untuk pulang ke tempat tinggalnya.
"Masuk sahaja kereta, uncle tu tegur"kenapa muka merah? Penat ke". Kemudian, aku senyum tapi uncle dapat sense yang aku sedih. Kemudian aku ternangis and ceritakan semua apa jadi,"sudah, jangan menangis.
"Tidak mengapa, uncle belanja, janji kamu belajar betul-betul. Uncle faham. Tidak mengapa, uncle tolong, ini hari uncle tolong kamu, nanti orang lain pula tolong uncle," tulisnya.
Lebih mengharukan @niniekamarudinn sebelum sampai ke destinasi, pemandu yang bernama Yew Ah Tat itu sempat singgah di sebuah gerai untuk membungkuskan makanan kepada penuntut itu.
"Dia siap singgah kedai makan and bungkuskan untuk aku nak pastikan aku makan dekat bilik! Ya ALLAH, tolong lindungi dia. Pelajar Shah Alam kalau jumpa uncle ni, please buat baik dengan dia," tulisnya.
Perkongsian @niniekamarudinn kini tular di media sosial yang meraih 11,900 ulang kicau dan 8,600 tanda suka.
Ramai yang memuji lelaki itu yang membantu tidak mengira bangsa dan agama.
"Murah rezeki cik jumpa org baik mcm ni, Alhamdulillah...jom kita mendoakan agar Uncle Yew ini sentiasa dalam keadaan sihat walafiat, panjang umur, murah rezeki dan sentiasa dalam lindungan ALLAH," tulis @peaches_lilies di Twitter.