SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengutip hasil bidaan sebanyak RM1.2 juta bagi siri nombor pendaftaran NDN melalui pelaksanaan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) selama lima hari bermula 28 November lalu.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata, jumlah kutipan bidaan berkenaan adalah paling tinggi diperoleh JPJ Negeri Sembilan iaitu peningkatan 56.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurutnya, pada siri kali ini, NDN1 menjadi nombor paling mahal dibina dengan bidaan tertinggi RM136,000 manakala paling rendah iaitu NDN94 dengan nilai bidaan RM2,000.
"Seramai lapan orang yang membida nombor NDN1 manakala bidaan kedua tertinggi adalah NDN9 bernilai RM81,000 dan diikuti NDN3 bernilai RM55,000.
"Lima nombor yang paling banyak dibida iaitu NDN11 iaitu seramai 11 pembida dengan nilai bidaan tertinggi iaitu RM18,888 diikuti NDN86 dengan 10 pembida dengan nilai bidaan tertinggi iaitu RM5,800 dan NDN99 dengan sembilan pembida dengan nilai bidaan paling tinggi RM20,000," katanya pada sidang akhbar di JPJ Negeri Sembilan di sini hari ini.
Azrin berkata, seramai 116,582 orang yang mendaftar dalam sistem JPJeBid namun hanya seramai 860 orang yang membida bagi siri itu.
Katanya, setiap nombor pendaftaran yang berjaya dibida harus didaftarkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.
"Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam.
"Pada siri kali ini, sebanyak 9,601 jumlah nombor yang tidak dibida," katanya.
Menurutnya, peningkatan hasil kutipan bidaan berkenaan berikutan pelaksanaan sistem JPJeBid yang lebih mudah dan cepat.
Beliau berkata, nombor siri seterusnya dibuka ialah NDP.