KOTA BHARU - Meskipun tiada peruntukan khusus namun sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Briged Aman Malaysia tidak ketinggalan melaksanakan kerja kemasyarakatan apabila turut memantau dan menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di negeri ini.
Penaung Briged Aman Malaysia, Abu Bakar Yahya berkata, buat permulaan pihaknya bersama dua buah lori bekalan makanan bersama 10 pacuan empat roda akan menjelajah ke 76 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dikenal pasti.
Beliau berkata pemantauan akan turut dijalankan ke atas mangsa-mangsa yang rumah mereka dikenal pasti dinaiki air serta bantuan yang diberikan.
"Sebenarnya segala kelengkapan yang ada di PPS adalah mencukupi dengan adanya pelbagai agensi kerajaan di situ.
"Bagaimanapun, kita tetap membuat pemantauan kerana tidak mahu ada yang tercicir dalam mendapatkan bantuan. Setakat ini segala keperluan kita lihat sudah sempurna tetapi kita akan cuba membuat penambahbaikan sekiranya perlu," katanya kepada pemberita ketika penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di SK Sri Ketereh di sini, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, turut menyampaikan salam daripada Tun Dr Mahathir Mohammad agar kesemua mangsa banjir bersabar.
Jelasnya, Briged Aman hanyalah sebuah NGO yang dianggotai oleh individu yang tidak bergaji namun mempunyai kesungguhan di dalam kerja kebajikan.
"Setakat ini, kita hanya mempunyai keahlian sekitar 300 orang sahaja tetapi bakal dikembangkan selepas ini ke seluruh negara.
"Kita tahu ramai orang kita yang berminat untuk melakukan kerja kebajikan tetapi tidak tahu ke mana arah mereka perlu tuju," katanya.
Dalam misi kali ini, Abu Bakar berkata pihaknya akan ke Pasir Puteh dan Tumpat bagi melakukan pemantauan dan menyerahkan bantuan kepada mangsa yang terjejas.
Di SK Sri Ketereh, 48 mangsa yang masih ditempatkan di situ menerima pelbagai barangan keperluan makanan seperti beras, sardin, gula dan bekalan air minuman.-Bernama