KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar minimum caruman berkanun syer majikan dikurangkan kepada empat peratus bagi pekerja yang berusia lebih 60 tahun, berbanding sumbangan semasa antara 6.0 dan 6.5 peratus.
Sumbangan bahagian pekerja pula kini kosong peratus, kata KWSP dalam kenyataan hari ini.
Iklan
Iklan
Kadar minimum baharu itu berkuat kuasa mulai gaji/upah Januari untuk potongan caruman bulan Februari 2019.
"Langklah untuk mengurangkan kadar caruman berkanun itu dilaksanakan berikutan cadangan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2019, bagi membantu meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja yang masih bekerja selepas mencapai umur 60 tahun,” katanya.
KWSP berkata syer majikan pada kadar minimum empat peratus pula dapat menggalakkan peluang pekerjaan bagi pekerja yang melebihi umur 60 tahun, dan seterusnya membolehken penduduk yang berumur 60 tahun ke atas, terus produktif dan aktif dalam ekonomi.
Bagaimanapun pekerja yang kini mencarum pada kadar 5 hingga 5.5 peratus, boleh memilih untuk meneruskan kadar sumbangan sedia ada.
Untuk maklumat lanjut, pencarum boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000. - Bernama