PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen menahan 238 warga asing daripada 5,285 orang yang diperiksa dalam operasi bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara serentak di seluruh negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee berkata, jumlah tangkapan tersebut terdiri daripada 58 warga Myanmar, 57 Indonesia, 54 Bangladesh, 23 Pakistan dan 21 orang warga Filipina.
"Selebihnya lain-lain negara seramai 26 orang," katanya.
Menurutnya, kesemua ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
"Kebanyakan tinggal lebih masa dan tinggal tanpa pas sah," katanya.
Beliau berkata, operasi bersama bersama JPJ itu berlangsung selama tiga hari bermula Isnin lalu.
"Operasi ini bertindak memeriksa warga asing melalui sekatan jalan raya di 71 lokasi," katanya pada sidang akhbar operasi berkenaan di sini petang ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, antara kesalahan dikenalpasti pada operasi itu adalah warga asing yang bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan yang disyaki tidak mempunyai lesen memandu dan lesen memandu kenderaan barangan (GDL).
"Saya ingin tekankan di sini bahawa warga asing tidak dibenarkan memandu kenderaan perdagangan di negara ini," katanya.
Selain itu, lesen kenderaan motor tamat tempoh serta kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan Akta Pengangkutan Awam Darat turut dikenalpasti.
Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan imigresen untuk mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap pada masa akan datang.
"Kerjasama operasi ini telah mendatangkan hasil yang optimum bagi kedua-dua agensi ini," katanya.