KUALA LUMPUR -"Ketika seterika ditekap di kakinya, Zulfarhan ada menjerit dan menepis," kata tertuduh kelima, Mohamad Shobirin Sabri.
Shobirin memberitahu Mahkamah Tinggi, dia melakukan perbuatan itu selepas disuruh oleh seseorang.
Shobirin berkata, ketika seterika wap ditekap, Zulfarhan berada dalam keadaan duduk di atas lantai.
Shobirin membuat pengakuan demikian pada perbicaraan peringkat bela diri kes bunuh Pegawai Kadet Pertahanan Zulfarhan Osman Zulkarnain dua tahun lalu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah hari ini.
Dalam kenyataan tertuduh, dia masuk ke dalam bilik 04-10 penginapan blok penginapan asrama jebat UPNM itu selepas menyedari ada kekecohan berlaku.
Menurutnya, suasana ketika itu samar dan dia tidak nampak dengan jelas.
Ketika disoal balas Pendakwaraya Julia Ibrahim sebab tertuduh menekap seterika wap kepada Zulfarhan, Shobirin mendakwa dia hanya melakukan perbuatan itu secara spontan selepas seterika wap itu diserahkan kepadanya tanpa niat mencederakan.
Tertuduh juga turut mengaku di hadapan Hakim Azman bahawa dia antara yang terawal menekap seterika wap terhadap Zulfarhan.
Azman: Semasa kami masuk dalam bilik itu dalam dua tiga minit...kamu buat apa?
Shobirin: Saya hanya pandang dan tengok sekeliling. Saya lihat dua tiga orang sedang mengelilingi Zulfarhan.
Azman: Awak fikir awak orang pertama yang menekap seterika itu pada Zulfarhan?
Shobirin: Seingat saya ya Yang Arif.
Perbicaraan bersambung 26 Februari depan.
Pada 31 Julai lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Semua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sa9ma, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.