SHAH ALAM - Pihak pembangkang belum berbincang pendirian mereka mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri untuk menghadkan tempoh perkhidmatan jawatan itu kepada dua penggal.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut penting bagi mengelak percanggahan pendapat dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat.
"Kita belum bincang lagi sebab tunggu mereka bahas dulu di Dewan Rakyat. Dia (Pakatan Harapan) nak bawa dalam mesyuarat akan datang. Kami pembangkang akan bincang dulu.
ARTIKEL BERKAITAN: Had jawatan PM: Usaha semak, seimbang politik negara
"Ada beberapa pro dan kontra yang akan kita bincang dalam blok pembangkang sebab tidak mahu apabila usul itu dibentang, dibahas dalam Parlimen ada perbezaan pendapat. Kita tidak mahu perkara itu berlaku.
"Ini adalah isu penting berkaitan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan undi atau sokongan majoriti dua pertiga, maka kita akan bincang dengan Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan semua gabungan pembangkang, InsyaALLAH," katanya seperti dipetik dalam sebuah portal pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pihaknya akan meneliti perkara berkenaan.
"Nanti biar mereka bahas usul, biar kita (Pas) baca dulu, kita belum baca lagi," katanya.
Semalam, pembentangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Bacaan kali pertama pindaan rang undang-undang Perlembagaan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Mengikut rang undang-undang itu, pindaan berkenaan melibatkan cadangan peruntukan bagi kriteria tambahan berhubung kelayakan ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri termasuk menghad tempoh perkhidmatan jawatan tersebut kepada dua penggal.