SPRM tidak tolak wujud unsur rasuah seludup hasil hutan: Latheefa

Iklan
Latheefa Koya - Foto Bernama

PETALING JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan wujud unsur rasuah dalam aktiviti penyeludupan hasil hutan dan pemburuan haiwan liar yang berleluasa di beberapa negeri.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, pihaknya banyak menerima laporan berhubung isu penyeludupan dan pemburuan haiwan liar, namun enggan memberi pendedahan lanjut termasuk negeri terlibat kerana ia akan mengganggu siasatan.

Iklan
Iklan

"Ya, SPRM ada menerima banyak laporan, semua ini (penyeludupan dan memburu haiwan) tidak akan berlaku jika tiada rasuah.

"Pihak saya ketika ini sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membanteras kegiatan sedemikian," katanya ketika ditemui media pada Seminar Etika dan Integriti Perniagaan: Mengembangkan Perniagaan Menerusi Amalan Beretika di sini, hari ini.

Iklan

Pada 28 November lepas, Perhilitan dan PDRM mendedahkan 63 orang termasuk 48 warga asing ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah dari 3 Sept hingga 16 November kerana dipercayai terlibat dalam jenayah hidupan liar.

Tangkapan itu termasuk empat warga tempatan yang ditahan di Pasir Mas, Kelantan dan Sungai Petani, Kedah apabila pihak berkuasa merampas gading gajah, tanduk rusa dan kulit binatang liar yang bernilai ratusan ribu ringgit.

Iklan

Pada Oktober lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan orang kenamaan adalah antara yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan pemburuan haram di sekitar hutan di Semenanjung Malaysia. - Bernama