BATU PAHAT - Selepas hampir dua jam dilaporkan sesat ketika mendaki Bukit Botak, Parit Sulong di sini, dua sahabat ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat jam 12.28 tengah hari tadi.
Mega Melor Selamat, 40, dan Azra Azlin Adam, 40, ditemui di dalam kebun kelapa sawit di atas bukit terbabit dalam keadaan keletihan tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Azra Azlin berkata, dia dan rakannya sedar mereka sesat apabila tidak menemui jalan keluar selepas mula mendaki pada jam 8 pagi tadi.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila segera meminta bantuan dengan membuat panggilan talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan dengan telefon bimbitnya.
"Saya turut menggunakan aplikasi telefon pintar dengan menghantar lokasi kami tersesat kepada talian 999.
"Syukur lokasi kami ditemui pasukan bomba dan juga beberapa penduduk kampung di kawasan Parit Betong, Parit Sulong yang mencari kami,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Syamil Ariffin berkata, lapan anggota bomba dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Katanya, pihaknya masa kira-kira 20 minit sebelum menjumpai lokasi kedua-dua mangsa di dalam kebun kelapa sawit di atas bukit berkenaan.
"Operasi ditamatkan pada jam 2 petang sementara mangsa dihantar ke balai polis berhampiran,” katanya.