40 lagi rumah di Sungai Kedondong diroboh

Iklan
Mahfuz membersihkan kawasan rumahnya yang diroboh dalam operasi hari ini.

SUNGAI BULOH - Kira-kira 40 kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab dirobohkan dalam operasi hari ini.

Difahamkan anggota penguat kuasa terdiri daripada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling bersama beberapa agensi berkaitan memulakan operasi perobohan itu bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Menurut seorang penghuni rumah yang dirobohkan, Mahfuz Ariffin, 47, selepas mendapat notis pada November lalu, pihaknya bersiap sedia bagi memindahkan barangan penting ke sebuah bilik di rumahnya yang tidak terlibat dengan perobohan itu.

"Sebahagian rumah saya telah dirobohkan dan yang tinggal hanyalah tinggal sebuah bilik untuk saya, isteri bersama dua anak lagi berteduh buat sementara waktu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Iklan

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, dia masih belum dapat mencari rumah sewa baharu berikutan gajinya yang kecil dan tambahan pula isterinya juga hanya merupakan seorang suri rumah.

Bagaimanapun Mahfuz berkata, pihaknya akan mencuba untuk mencari rumah sewa dengan kadar segera demi keselesaan isteri dan anak-anaknya itu.

Iklan

"Susah untuk cari rumah sewa yang berpatutan dan disebabkan itulah kami perlu bersama-sama berhimpit di dalam bilik yang tinggal ini buat sementara," katanya.

Ujar Mahfuz, dia membeli tanah itu pada tahun 1995 dengan harga RM15,000 dan kemudiannya membina sendiri rumah di tapak tersebut.

"Memang sedih bila lihat rumah yang kita bina sendiri dirobohkan namun saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk lain, Mohd Sapris Satar, 29, berkata, rumah ibu mertuanya turut diroboh dalam operasi berkenaan selepas dibina di tapak terlibat sejak lebih 20 tahun lalu.

Mohd Sapris berkata, buat masa ini, ibu mertuanya akan menetap di rumahnya yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

"Kalau nak ikutkan, memang ibu mertua saya reda dengan perobohan ini namun saya pasti dia bersedih kerana banyak kenangan di rumah itu,"katanya.

September lalu, satu operasi perobohan rumah dilaksanakan ke atas premis dan kediaman berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina di atas tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Perobohan itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada projek pelebaran sungai dalam usaha untuk mengatasi isu banjir di kawasan terbabit.

Sebelum ini, operasi perobohan itu ditangguhkan sementara bagi membolehkan anak penduduk terlibat menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.