8 banduan meninggal dalam penjara akibat HIV

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan kematian direkodkan melibatkan banduan lelaki disebabkan jangkitan HIV atau AIDS di Penjara Kajang dari Januari hingga hari ini, kata Timbalan Penguasanya, Shollehin Dahari.

Beliau berkata, jumlah tersebut merangkumi seramai 107 banduan lelaki yang merupakan pesakit HIV di pusat berkenaan sehingga hari ini.

Iklan
Iklan

"Secara puratanya, dianggarkan kira-kira lapan hingga 10 banduan lelaki meninggal setiap tahun di penjara berkenaan akibat jangkitan penyakit itu.

"Kami menerima seramai 120 orang banduan yang menghidap jangkitan HIV atau AIDS secara purata setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Penghuni Penjara Kajang dekat sini, hari ini yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penjara Kajang M Basakaran.

Iklan

Shollehin menjelaskan, setiap banduan telah mengetahui diri mereka positif HIV atau diketahui melalui ujian saringan yang wajib dilakukan sebelum menjalani hukuman di pusat ini.

Tegasnya, banduan-banduan tersebut ditempatkan di blok khas untuk diasingkan daripada banduan lain dan akan menerima rawatan sepanjang di Klinik Dalam Penjara (KDP) selain dihantar ke hospital berdekatan jika memerlukan rawatan rapi.

Iklan

Terdahulu, mengulas mengenai majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Penghuni Penjara Kajang di sini, Shollehin berkata, pelbagai aktiviti telah diadakan yang antara lain memberi kesedaran kepada banduan tentang bahayanya penyakit HIV.

Jelasnya, antara aktiviti tersebut adalah ceramah kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, melukis poster, mendeklamasikan sajak serta sesi perkongsian berkumpulan yang dikendalikan pegawai di Penjara Kajang.

Menurutnya, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat amat memberangsangkan dan sangat-sangat diperlukan bagi membantu banduan menyesuaikan diri setelah keluar dari penjara. - Bernama