KUANTAN - Seorang pencuci kereta maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 121.5, Jalan Kuantan-Johor Bahru, Rompin pagi tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa Haziq Hamid, 18, dari Kampung Sebayan, Jalan Pekan, Rompin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua pemandu kereta terlibat, Saidi Mat Husin, 70 dan Lomak Kasim, 72, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha SS dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke tempat kerja di Taman Impiana.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu melanggar kereta jenis Perodua Kancil dipandu Saidi yang keluar dari kawasan Klinik Kesihatan Leban Chondong secara mengundur.
"Akibat perlanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan dilanggar kereta jenis Alfa Romeo dipandu Lomak.
"Mangsa yang terperosok si bawah kereta berkenaan mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Beliau berkata, mayatnya dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
Menurutnya, kemalangan maut meragut nyawa penunggang itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.