KUALA LUMPUR - Desas-desus hubungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikatakan semakin pulih mula bertiup kencang sejak petang tadi.
Khabar angin diperkuatkan lagi dengan penularan gambar dua pemimpin itu berbual mesra di kafe Parlimen melalui ciapan di laman sosial Instagram oleh pemilik akaun 'dsaisupporters'.
Ciapan yang mendapat sukaan 1,020 warganet setakat jam 9.40 malam itu turut dimuat naik dengan kenyataan 'Alhamdulillah. Work in progress. Semoga dipermudahkan' sekali gus menerima 36 komen positif mereka.
Seorang pengguna akaun Instagram 'johnlucan6' menyifatkan perkembangan terbaharu itu terbaik untuk masa depan politik.
"Alhamdulillah. Semoga perkembangan positif itu dipermudahkan," katanya.
Bagaimanapun terdapat beberapa warganet yang memandang sinis pertemuan itu dan menganggapnya satu sandiwara dipertontonkan kepada masyarakat umum. Bagi seorang lagi pemilik akaun Instagram bernama 'iam_muja', dia merasakan kedua-dua pemimpin yang mengadakan pertemuan itu hanyalah memakai 'topeng' semata-mata.
"Topeng. Esok lusa hantar kuda pi serang," komennya.
Isu pergolakan dalaman PKR dikatakan semakin memuncak apabila sejumlah 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebulat suara menolak pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Parti (MPP), Zakaria Abdul Hamid sebagai ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.
Tindakan pemecatan itu dibuat Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kassim bersama seorang ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi selepas dipercayai terbabit dengan kes rasuah ketika pemilihan parti itu tahun lalu.
Anwar kemudian mempertahankan pemecatan dua ahli PKR berkenaan dan enggan melayan permohonan maaf kumpulan ahli MPP PKR diketuai Mohamed Azmin sendiri.
Anwar berkata, kenyataan bersama yang ditandatangani 20 pemimpin parti itu - yang mengandungi desakan itu - boleh dipertikaikan. Beliau mendakwa dua pemimpin yang menandatangani kenyataan itu, Naib Presiden Tian Chua dan ahli MPP R Sivarasa, kini mempertikai sebahagian kandungannya.