KUANTAN - Rakyat yang mendokong institusi diraja tidak berhak untuk mempertikai atau memperlekeh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V meletak jawatan.
Ketua Pemuda Umno Kuantan, Md Jamil Pauzi berkata, alasan sebenar keputusan itu hanya baginda yang tahu.
Iklan
Iklan
"Mungkin rakyat di Kelantan secara khususnya memerlukan baginda sepenuh masa dalam pemerintahan di Kelantan.
"Jadi sikap menghina atau menghukum secara semberono oleh setengah pihak menunjukkan sikap negatif yang tidak patut ada pada diri seorang rakyat negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, hak mutlak seorang raja tidak sama dengan pemerintah yang dipilih dalam pilihan raya dan dalam keputusan baginda meletak jawatan juga mengikut lunas perlembagaan.
"Oleh sebab itu, janganlah ada di kalangan kita yang menjadi perosak bangsa dan ketuanan Melayu asbab hilang hormatnya kepada raja sebagai ketua negara.
"Mereka yang banyak memperlekehkan intitusi raja ini adalah orang yang anti kepada Melayu kerana hak dan keistimewaan Melayu termaktub di dalam perlembagaan,” katanya.