CUTI sekolah kini sudah masuk minggu kedua. Bagi ibu bapa yang bekerja mereka mungkin masih banyak modal untuk uruskan aktiviti anak-anak mereka sama ada hantar ke kelas motivasi, kelas mengaji, kelas muzik dan paling popular hantar mereka balik kampung.
Bagi Merak Jalanan sendiri, minggu kedua ini agak mencabar minda kerana pada minggu-minggu terakhir sebelum tutup tirai 2019, Merak Jalanan perlu membuat pembentangan perancangan gerak kerja dan strategi untuk 2020.
Walaupun anak-anak sudah merungut kerana bosan tinggal di rumah nenek tapi Merak Jalanan sering menjadi orang yang paling kreatif memujuk mereka bersabar.
Mujurlah mereka ini anak-anak yang baik dan jarang merungut. Mereka tahu kesibukan ibu bapa mereka. Jika Merak Jalanan seusia mereka, sudah lama meraung!
Jadi segala rancangan percutian atau jalan-jalan dengan anak-anak hanya boleh bermula selepas selesai pembentangan. Jadi sejak bulan lepas, Merak Jalanan dan pasukan sudah bertungkus-lumus menyiapkan rancangan rapi bagi memastikan gerak kerja tahun 2020 lebih baik dari tahun ini.
Tugas Merak Jalanan dalam bidang media saban hari makin mencabar, tambahan pula hendak mengikut kehendak pembaca yang pelbagai juga bukan satu tugas yang mudah.
Kadang-kadang Merak Jalanan selalu buntu memikirkan cara terbaik menyampaikan berita digital kepada pembaca yang pelbagai peringkat umur, latar belakang dan kesukaan topik berita.
Yang pastinya, setiap satu bahan berita yang dirancang adalah bagi memenuhi kehendak dan minat pembaca Sinar Harian yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Jangan tak tahu ya, ada juga dalam kalangan pembaca yang menyalurkan maklumat penting dan eksklusif khas untuk siaran kami. Terima kasih semua, teruskan keyakinan dan sokongan tersebut.