SHAH ALAM - Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meminda Perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal merupakan usaha progresif seiring dengan amalan demokrasi negara.
Penganalisis Politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini sebagai cara bagi memastikan pemerintah tertinggi di dalam negara tidak menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan peribadi.
Menurutnya, banyak negara maju seperti Amerika Syarikat telah melaksanakannya sejak 1776 lagi, begitu juga dengan Indonesia pada 1947 telah mempunyai peruntukan khusus tentang isu ini.
"Banyak contoh yang berlaku akibat pemerintah menggunakan kelangsungan kuasa untuk mencapai matlamat mengayakan diri sendiri tanpa mengambil kira kebajikan, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat.
"Oleh itu, kita harus melihat perspektif yang baik bahawa pindaan ini akan membawa kebaikan dan tidak terlambat untuk pelaksanaannya," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas mengenai Rang Undang- Undang Perlembagaan (Pindaan)(No.2)2019 berkaitan perjawatan Perdana Menteri untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat kelmarin.
Menerusi pindaan tersebut, seorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya telah memegang jawatan itu selama dua penggal.
Ujar Ahmad Martadha, usaha ini juga membuktikan kerajaan PH cuba menunaikan janji menerusi manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
RUU itu dijangka akan dibahaskan pada sidang seterusnya Mac tahun depan.