MUKADIMAH
Kongres Nasional PKR 2019 yang bakal berlangsung bermula hari ini hingga 8 Disember ini pastinya menjadi tumpuan bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi seluruh rakyat negara ini.
Ini susulan berlakunya isu pergolakan dalaman tercetus di antara kem Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ke Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang saban hari dilihat semakin serius.
Bagaimanapun, Anwar dalam siri turun padang di beberapa negeri menegaskan parti itu masih teguh dengan menafikan sebarang perpecahan serius berlaku di peringkat dalaman PKR.
Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama beliau bagi menyelami luahan dan harapan terhadap masa hadapan PKR kelak.
PKR akan adakan Kongres Nasional 2019, apakah harapan Datuk Seri sebagai Presiden?
Kongres seperti biasa kesempatan untuk mendengar akar umbi selain daripada gagasan daripada pimpinan. Saya fikir bagi parti yang sudah berjuang sekian lama dan kini ditampuk pemerintahan, diperingatkan tentang landasan perjuangan dan menggilap idealisme yang kadang-kadang ia mudah pudar apabila kita mentadbir.
Selepas 20 tahun PKR, dan berada di puncak kuasa, adakah Datuk Seri fikir idealisme yang diwujudkan semakin terhakis?
Ini lumrah, sejarah idealisme itu seringkali pudar dengan kilauan kuasa dan harta. Jadi ini bukan sesuatu yang unik atau tersendiri dengan pengalaman Keadilan (PKR). Tetapi dalam sejarah, kita diajar dalam sejarah Islam, dengan (khalifah) Umaiyah dan Abasiyyah dan kemudian tentang Revolusi Perancis, Russia dan juga dengan idealisme yang dicetuskan (Mahatma) Gandhi.
Saya ini peminat sejarah, harus mengajar kita. Tujuannya, harus sentiasa pimpinan itu terus mengingatkan dan ini tentu tidak akan mentenangkan semua pihak. Mereka fikir sudah di tampuk kekuasaan, dengan idealisme itu bukan menjadi pertimbangan.
Apabila menjelang kongres, hangat diperkatakan mengenai konflik dalaman, apa pandangan Datuk Seri?
Saya tidak nafikan perbezaan pendapat, tindakan dan pemecatan, tetapi saya fikir kita tidak mendapat liputan yang agak adil.
Semalam (kelmarin) saya di Perak, di antara cabang-cabang terbesar negara. Semua cabang hadir. Semua pimpinan hadir. Seorang Exco tak dapat hadir kerana dapat berita kakaknya meninggal dunia.
Tetapi persepsi di luar itu, kerana beberapa kenyataan pimpinan itu masih terus-terusan. Saya pergi hampir semua negeri melainkan Selangor kerana Menteri Besar, Amirudin Saari datang ke rumah bersama beberapa pimpinan yang mahu kongres ini dianjak kepada pertengahan Januari. Saya kata boleh.
Tetapi persepsi di luar ini seolah-olah dia membantah. Itu berbeza daripada apa yang saya perolehi. Kita lihat sekarang senarai perwakilan sudah lebih 85 peratus yang sudah daftar.
Kalau ada 10 peratus tidak setuju umpamanya, apakah itu bermakna perpecahan? Atau isu yang berat dalam parti untuk dapat 100 peratus daftar dan hadir, ia tidak mudah. Saya lama dalam UMNO sendiri pun, jadi apakah saya meremehkan perbezaan pendapat? Saya tidak.
Tetapi saya melihat parti ini, bukan soal Anwar, Azmin, Saifuddin. Tetapi soal parti sendiri, soal akar umbi. Ternyata mereka mahu supaya parti yang bersatu, mereka beri mandat kepada pimpinan dan mereka beri dukungan kepada semua acara-acara penting parti.
Itu yang Datuk Seri dapat rasakan?
Saya turun, setiap minggu saya ke bawah. Saya yakin lebih awal, politik itu bukan percaturan golongan yang elit, yang agak mereka pintar tentukan itu, tentukan dasar, tentukan pelaksanaan.
Politik itu jugs harus melibatkan rakyat, bermakna kepedulian. Kita kena turun ke bawah dan dengar.
Saya turun ke Perak. Sebagai contoh ucapan saya pada jam 10.45 malam. Saya sampai jam 8 malam. Dari jam 8 hingga 10.45 malam saya dengar sekitar 10 orang punya bicara. Wakil akademik, wakil orang asli, wakil orang muda, wanita dan beberapa perwakilan.
Itu berbeza daripada kita yang bercatur elit perebutan kuasa, elit di atas. Ada perbezaan yang nyata.
Sekali lagi saya ulang, ini bukan sesuatu yang terbatas pada pengalaman Keadilan tetapi ia suatu gejala yang lumrah berlaku dalam sejarah dan dunia politik umumnya, ada kuasa, masing-masing dengan kesibukan dan keriuhannya. Lebih mudah saya berunding dengan tokoh-tokoh besar tinggalkan di bawah.
Kita belajar daripada pengalaman Rasulullah SAW yang ditegur dalam al-Quran. Abdullah bin Mat Tom yang miskin dan buta, dah ambil kesempatan berdamping, berbincang untuk dapat pandangan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW pada ketika itu terlalu sibuk dengan pembesar-pembesar Quraisy, penting untuk didulukan.
Tetapi saya selalu diperingatkan dengan kisah Amma iaitu dalam kesibukan kita bercatur di atas, jangan lupa yang daif, yang susah.
Tapi falsafah dunia politik yang tidak popular kerana tolong orang susah ni tak akan dapat komisen dan projek, tidak akan ada pengaruh di media, dan sosial media.
Berbeza dengan saya yang menjaga tokoh-tokoh besar dalam semua bidang ini. Ini pilihan seharusnya ingatkan kepada parti.
Adakah Datuk Seri fikir masalah dalam PKR ini ialah masalah yang ditimbulkan oleh segelintir pemimpin yang diketuai oleh Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)?
Tidak adil untuk buat tudingan sedemikian kerana dia bukan masalah seorang. Kita peringatkan (perkara) ini kepada saya, semua rakan-rakan, semua pimpinan bahawa percaturan politik dan lanskap politik itu harus berubah.
Reformasi ini bukan sekadar perebutan untuk mendapat kekuasaan. Tapi saya ulang, ini adalah untuk mempastikan satu urus tadbir, good governants. Ini persoalan tentang etika dan akhlak.
Datuk Seri yakin Kongres kali ini adalah untuk menggabungkan semula kekuatan PKR?
Ia, berbeza daripada telahan dan tafsiran, persepsi yang pelbagai, semalam (kelmarin) saya sebut, ini akan jadi kejutan bahawa sebenarnya dalam parti ini ada berbezaan. Saya fikir ada ketelanjuran. Masalahnya adalah kerana kenyataan-kenyataan yang agak keterlaluan, terlanjur itu disebut di media.
Padahal ruang dalam parti itu, dalam mesyuarat itu ada.
Tetapi bila diberikan umpamanya pertimbangan bagaimana masa depan parti, apakah kita harus teruskan dengan senario sebegini atau mantapkan semula. Saya yakin, kebanyakan pimpinan, presidennya, timbalan presidennya, setiausaha agungnya akan bersama kevarah itu. Ini keyakinan saya dan Insya-ALLAH terbukti benar.
Dalam ucapan Datuk Seri di Perak, datuk seri ada cakap 'jangan sampai saya hilang sabar', Datuk Seri rujuk kepimpinan atau ahli biasa?
Biasalah saya berucap selama setengah jam. Tentang kebijaksanaan, saya punya optimistik. Jangan uji saya lama-lama. Itu tarikannyan kepada media. Tetapi kenyataan itu benar, saya ada sebut dan tidak nafikan. Saya kata tidak perlu buat kenyataan keterlaluan, merasakan ini mencabar komuniti. Tidak perlu.
Kerana saya sahabat, saudara...saya menganggap rakan-rakan ini satu keluarga. Kita kena peringatkan (mana-mana pihak tidak guna saluran parti). Sudahlah.
Kebetulan penganjuran kongres adalah medan sebaiknya bagi kita berdepan dengan perwakilan dan menyatakan kita ajak semua untuk kembali kepada landasan.
Kenapa sesetengah pihak tidak menggunakan saluran mesyuarat untuk menyatakan pandangan sebalinya memilih media?
Itu tidak betullah. Kongres adalah sebaik-baiknya. Kita berdepan perwakilan dan ajak semua untuk kembali ke landasan dan menerima peraturan biasa.
Bagaimana hubungan Datuk Seri dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?
Hubungan saya dan dia sudah lebih empat dekad. Adalah pasang surutnya. Saya dalam politik ini, saya tidak bermusuh. Saya tidak suka unsur peribadi ini. Sebab itu mudah bekerja dengan sesiapa juga dan mudah memaafkan.
Kerana sifat itu, mungkin apa yang dilakukan Tun Mahathir sebelum ini pun masih Datuk Seri mampu memaafkan?
Kadang-kadang tidak bermakna kita tak rasa kecewa, derita. Kalau tahu hal sebenarnya, macam mana saya rasa dalam itu dulu, kalau tak simpati, harus akui liku-liku duka dan derita itu banyak.
Apabila kita teliti semula, apa yang kita inginkan, hidup saya dan perjuangan saya terlalu kuat soal derita rakyat.
Saya seorang yang sinis dalam politik. Saya juga merasakan saya salah pilih profesion, sepatutnya profesor atau media. Bicaranya tidak sama dengan dengan apa yang kita amalkan.
Keprihatinan terhadap derita rakyat itu cukup susah. Pengalaman saya dalam kerajaan dulu pun begitu juga. Tolong projek orang susah, buat rumah rakyat apa habuan dia?
Pengaruh daripada segi percaturan, kekuasaan paling minimum. Tetapi itu yang sepatutnya dilakukan oleh wakil rakyat.
Dalam tempoh setahun lebih PH memerintah, adakah Datuk Seri berpuas hati terhadap pentadbiran, kerana ramai mengeluh di luar?
Kita harus akui bahawa pentadbiran di bawah tun Mahathir adalah peralihan yang melibatkan politik, ‘social reform’, penjawat awam dan banyak lagi.
Harapan itu menggunung. Kita terima beberapa perubahan dibuat tetapi rakyat ini kurang sabar.
Tanjung Piai itu satu tamparan dan kejutan yang bagi saya dalam politik adalah malapetaka. Belum pernah berlaku dalam sejarah. Saya lihat dengan serius. Maknanya, kita harus melakukan sesuatu yang lebih untuk menunjukkan terutamanya program kepedulian rakyat.
Ya, sudah dimulakan. Ada hasrat dan kesungguhan dalam kepimpinan. Tetapi belum cukup lagi.
Dengan keadaan parti-parti dalam Pakatan Harapan yang berdepan drama politik dan sebagainya, bagaimana pula dengan parti pembangkang adakah mereka mempunyai kekuatan lebih baik sekarang?
Anwar: Pakatan Harapan daripada sudut dasar-dasarnya begitu kuat. Walaupun dalam mana-mana suasana dan transisi yang berlaku, semua ada ciri-ciri yang sama.
Kerajaan dulu tak pernah dikritik, sekarang semua seimbang berbanding yang lalu. Orang fikir kita banyak sangat kelemahan. Kita dalam Pakatan Harapan, persamaan itu terlalu banyak, tetapi ruang kebebasan umpamanya. Adakalanya orang tegur, ni Ahli Parlimen ni.. lepas.... (bebas bersuara).
Dulu semua ikut (ketua) Whip (di Parlimen). Saya ingat lagi masa saya Timbalan Presiden UMNO, mana berani. Cakap sikit kena panggil. Sekarang tak mudah begitu. Demokrasi. Kita akan bagi ruang kebebasan. Tapi persepsi orang melihat ‘berkecamuk mereka ini.’
Soal dengan kedudukan UMNO-Pas. Baru-baru ini nampak kesetiaan mereka bekerjasama, ada kekuatan baru. UMNO saya fikir, menerima pukulan tamparan yang sangat kuat dalam pilihan raya yang lalu.
Dia (pembangkang) menggunakan naratif baru sekarang ini. Saya tidak remehkan. Terpulang kepada kita, kalaulah dapat menunaikan janji-janji utama kita, kerjasama UMNO-Pas ini tidak sama.Adakah pembangkang tidak boleh pergi jauh?
Anwar: Terlalu awal. Saya dalam Pakatan Rakyat lama. Saya masuk penjara lama. Mereka ada dukungan berbeza.
Pada rasional politik saya, suku politik agama yang terlalu sempit dan perkauman itu dapat dikendurkan. Umpamanya Pas sokong Cina di Tanjung Piai. Itu bagi saya satu kemajuan. Sekurang-kurangnya rencana kaum itu dapat dileraikan.
Adakah isu pergolakan dalaman PKR boleh menjejaskan harapan Datuk Seri untuk menjadi Perdana Menteri(PM)?
Jauh sangat telahan itu sebab mahu jadi PM. Dalam konteks dan proses, itu keputusan Pakatan Harapan(PH), tidak langsung berbangkit calon lain.
Akhirnya itu bergantung keputusan ahli parlimen yang (memberi sokongan) majoriti. Setakat ini saya tidak lihat ada perubahan (sokongan). Jadi bagi saya yang penting, dalam kerja tidak boleh terlalu taksub dan ghairah dengan masalah peralihan jawatan PM.
Saya secara peribadi tidak terkesan dengan perkara ini. Saya tahu hubungan saya dengan ahli parlimen PH, GPS, pembangkang termasuk UMNO dan Pas...saya tidak ada permusuhan peribadi dengan mereka.
Kalau kita lihat, PKR seolah-olah mengambil tindakan terlalu berhati-hati untuk melaksanakan tindakan disiplin terhadap segelintir pihak dikatakan buat bising dalam parti dan tidak begitu agresif, adakah wujud kebimbangan tindakan diambil berlandaskan perlembagaan parti akan mengundang perpecahan lebih teruk?
Yalah. Perkara ini libat kesabaran dan kebijaksanaan. Shamsul (Datuk Seri Shamsul Md Akin) pun sebelum ini bergurau dalam mesyuarat, dia kata Anwar kesabaran tahap dewa.
Pertamanya saya hendak jawab mengatakan saya seorang demokrat.Jika lihat persepsi persoalan parti bakal berkecai pun tidak juga.
Masalah kalau ada pun, kehadiran mesyuarat itu penting. Yang lain seperti hendak beri pandangan, kalau ikut saya hendak bagi pandangan, (tiada masalah).
Kalau saya, selepas (persidangan) Parlimen, orang masuk sahaja pejabat saya tanpa sebarang temujanji. Selalunya kalau ada temujanji atau tidak, di sini orang masuk sahaja tidak boleh buat temujanji...tiada halangan kepada mereka.
Keduanya kalau kes libat perbezaan politik, saya tidak setuju ambil tindakan keras. Kalau orang kata Anwar tidak boleh jadi PM dan kena tunggu sikit, itu bukan persoalan besar dan saya tidak kisah.
Tetapi kalau dia ambil projek rasuah, ada laporan SPRM, ya saya tegas. Namun kalau ada orang hendak pertahan (kesalahan itu), itu yang kita rasa bingung.
Tidakkah Datuk Seri khuatir masalah dalaman sebegini jika tidak ambil tindakan dalaman segera oleh parti akan menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan rakyat?
Persepsi itu kerana kenyataan. Kalau kenyataan dapat diredakan dan dikurangkan, kita mungkin akan memperbaiki persepsi.
Tetapi di peringkat akar umbi hendak tegur macam mana? Media hidup dengan sensasi, mesti akan menaikkan isu dalaman parti berbanding kisah positif seperti kehadiran semua 24 cabang PKR di Perak dalam konvensyen semalam.
Tetapi lama-kelamaan orang akan faham (situasi sebenar dalaman parti). Contohnya seperti di Perak, ahli parti akan tahu siapa ada kekuatan.
Jadi saya setuju pandangan itu dan saya hendak pastikan kongres ini dapat mengingatkan kita balik supaya ada semangat kesatuan dan tolak ansur.
Saya bukan hendak pertahankan saya buat itu betul...saya pun ada kelemahan saya. Kadangkala dalam kemarahan pun saya ungkap kenyataan kurang tepat.
Ataupun paling sensitif (usaha menangani) kawan-kawan lama berjuang dalam parti. Masa pilihan raya, bila saya buat keputusan ganti calon lama dengan budak baharu, habis mereka ungkit sampai darjah 1 punya masalah. Perkara itu masih berlaku lagi, saya hendak buat pilihan macam mana?
Kalau dalam PKR saya tidak pilih barisan kepimpinan barisan orang muda, rata-rata mereka adalah ahli parlimen, mereka tiada peluang kalau hendak tunggu giliran (pegang jawatan parti atau jadi calon).
Adakah anda rasa mudah? Tidak... Ini sangat memeritkan kerana semua kawan-kawan saya. Ada yang terima baik, tetapi ada beberapa orang, walaupun ada yang bertanding banyak kali tetapi tidak boleh menang, bila ditukarkan sudah merajuk.
Adakah situasi itu disebabkan PKR merupakan sebuah parti dipenuhi pejuang-pejuang bersifat 'rebel'?
Pejuangan perlu bersandarkan akhlak dan tawaduk. Jangan (fikir) pertimbangan perjuangan ini aku dapat apa. Kita ada 50 ahli parlimen. Mana yang tidak dapat, ada persoal keputusan itu kerana mereka ada pengalaman dan sebagainya.
(Masalah begini) yang kena tanggung saya...Presiden, tetapi saya kena terima.
Keputusan Datuk Seri bertanding jawatan presiden selepas sekian lama menjadi ketua umum PKR. Keputusan itu didakwa menjadi titik tolak perpecahan parti. Adakah usaha Datuk Seri turun ke akar umbi mampu menjadi solusi menyatukan kem-kem dalan parti didakwa terpisah, sekaligus memulihkan keadaan parti?
Ada..dalam politik persaingan bukan sesuatu kesalahan, asalkan tidak jadi masalah kebencian dan permusuhan. Tetapi saya lihat di peringkat akar umbi, kesemua perwakilan cabang perlis, melaka dan negeri sembilan, kesemua hadir.
Kalau kita lihat on the ground masih ada umpamanya pilih presiden belum tentu pilih Anwar... It's ok... Tapi saya rasa majoriti hendak pilih saya.
Saya ingat PKR hanya berdepan masalah kenyataan sahaja, bukan realiti. Saya sangat realistik politik, keputusan saya bertanding ketua umum pun sebab Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) suruh. (Bagi jawatan Presiden) saya fikir lebih baik saya ambil alih pentadbiran parti kerana fungsi ketua umum cuma nasihat sahaja.
Kini saya kena fikir rakyat di peringkat akar umbi (on the ground). Dahulu saya hanya fikir penjara, tetapi mudah-mudahan tidak masuk penjaralah... (Kini) saya fikir amanah rakyat.
Sebagai presiden parti terbesar di Parlimen, apakah masa depan PKR yang Datuk Seri inginkan?
Kalau dilihat agenda reformasi yang dikatakan Pengisytiharan Permatang Pauh adalah reformasi pemerintahan dengan dasar etika dan akhlak, banteras rasuah, betulkan institusi dan tekadkan mutu pemain politik supaya kekal pada garisnya.
Yang maha penting adalah kita kena pastikan bahawa kekuatan kita dan pertumbuhan ekonomi perlu lebih rancak.
Kesemua inisiatif memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih menyakinkan mestilah menunjukkan kepedulian dan dasar yang boleh meringankan beban rakyat.
Itu saya ingat satu permulaan tetapi saya ingat perlu dipertingkatkan (pada masa hadapan).