Polis Johor terima 15 kenderaan HMPV baharu

Iklan
Kamarudin (dua,kiri) bergambar bersama kenderaan HMPV Kontinjen Johor yang baharu.

JOHOR BAHRU - Polis Kontinjen Johor menerima sebanyak 15 kereta baharu jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi mengoptimumkan lagi operasi kawalan dan keselamatan lalu lintas negeri ini.

Kenderaan jenis Mitsubishi Outlander 2.4L dengan transmisi automatik itu akan ditugaskan bagi unit Polis Peronda Lebuh Raya (HMPV) dan diagihkan bagi semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, aset bernilai kira-kira RM140,000 setiap sebuah itu akan menggantikan beberapa jenis kenderaan lama yang mana sudah menjangkau tempoh penggunaan lebih 20 tahun.

"Kenderaan ini adalah untuk kegunaan sebagai HMPV bagi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor menggantikan kenderaan pasukan yang lama.

Iklan

"Ia melibatkan aset lama bagi model Mitsubishi Pajero, Nissan X Trail, Proton Perdana dan juga Proton Waja yang sudah digunakan lebih daripada 10 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir Menyempurnakan Majlis Penyerahan 15 kenderaan HMPV JSPT Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Iklan

Kamarudin berkata, kenderaan berkenaan juga telah siap dilengkapi dengan pelbagai peralatan dan aksesori khas untuk memudahkan tugas kawalan dibuat.

"Antaranya yang ditambah adalah sistem bunyi dan lampu bersepadu, kamera papan pemuka (dash cam), filem cermin gelap, alat bantuan kecemasan dan juga pemadam api,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu, Polis Johor juga akan menerima beberapa lagi aset baharu untuk menambah baik lagi perkhidmatan agensi penguatkuasaan berkenaan.