KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri bersama seorang rakan ditahan kerana didapati memiliki lima laras senapang dan peluru penabur dalam dua operasi berasingan petang kelmarin dan semalam.
Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, tangkapan pertama melibatkan pasangan suami isteri di sebuah pondok dalam kawasan Ladang Kelapa Sawit Poh Cong, Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru di sini kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
"Dalam operasi ini, kita telah menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam berusia 47 tahun dan isterinya yang berusia 55 tahun yang mana kita turut menemui empat laras senapang patah, satu laras senapang angin buatan sendiri.
"Selain senjata tersebut, kita juga turut merampas 23 butir peluru penabur dan dua bungkusan guli yang telah dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahsmon berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku memiliki dua daripada lima senjata dirampas, manakala selebihnya milik rakan mereka.
Bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya berjaya menahan rakan suspek iaitu lelaki berusia 41 tahun di kediamannya di Taman Sri Saujana di sini kira-kira jam 2.38 pagi semalam.
"Soal siasat ke atas semua suspek mendapati mereka mendapat senjata ini dengan harga RM700 setiap satu untuk digunakan bagi tujuan memburu.
"Polis juga sedang siasat siapa yang bertanggungjawab membuat senjata angin yang dirampas,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api 1971, Seksyen 9 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.