KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 di perairan Pulau Tengah, Pulau Ketam, di sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohammad Rosli berkata, dalam kejadian itu, pihaknya sedang melakukan rutin rondaan di sekitar perairan Pulau Tengah pada jam 11.30 pagi, mendapati sebuah bot nelayan yang kelihatan mencurigakan sedang menangkap ikan.
"Bot berkenaan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran bot pihak berkuasa, namun kita berjaya menahannya,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati seramai lima lelaki warganegara Myanmar termasuk tekong berusia lingkungan 37 hingga 41 tahun berada di atas bot itu.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta telah melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan iaitu menunda kurang daripada lapan batu nautika dari daratan.
"Kita turut menjumpai ikan baja dan ikan campur yang dianggarkan berat kira-kira 300 kilogram,” katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.