Bicara kes rogol Paul Yong Februari depan

Iklan
Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar ketika ditemui pemberita hari ini.

IPOH - Perbicaraan kes Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong yang dituduh merogol pembantu rumahnya warga Indonesia ditetapkan selama lima hari, bermula 10 Februari depan.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas tarikh berkenaan dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan pada prosiding pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Iklan
Iklan

Paul Yong, 49, yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana menghadiri mesyuarat berkaitan portfolionya.

Pada 23 Ogos lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya, warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Iklan

Beliau didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman, manakala Paul Yong hari ini diwakili Peguam Farhan Sapian.

Iklan

Terdahulu, Farhan memohon budi bicara mahkamah agar perbicaraan kes itu ditetapkan pada Mac depan memandangkan pihak pembelaan telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, 27 November lalu.

Cadangan itu bagaimanapun dibantah Azhar yang memohon agar perbicaraan kes itu dijalankan lebih awal untuk memberi keadilan kepada semua pihak termasuk mangsa dan tertuduh yang ingin membersihkan namanya.

"Kes ini melibatkan Exco Kerajaan Perak yang juga kakitangan kerajaan, sewajarnya ia diberikan keutamaan untuk dibicarakan di mahkamah.

"Kes ini juga sudah pun hampir masuk ke bulan ketiga, tempoh yang terlalu lama akan libatkan kesan emosi kepada mangsa," katanya.

Peguam pemerhati mewakili pihak kedutaan Indonesia dan mangsa, Azura Alias turut memohon mahkamah mempercepatkan bicara kes itu kerana akan memberi kesan emosi kepada mangsa sekiranya masih tertangguh.

Norashima kemudiannya menetapkan 10 hingga 14 Februari depan sebagai tarikh bicara dengan seorang jurubahasa Indonesia.

Ketika ditemui pemberita, Azhar berkata, notis rayuan yang dibuat pihak pembelaan bukan alasan untuk menangguhkan kes itu kerana perbicaraan masih boleh diteruskan tanpa menunggu keputusan rayuan.

Katanya, adalah wajar kes diselesaikan pada Februari iaitu dalam tempoh enam bulan sejak didaftarkan pada Ogos lalu kerana melibatkan kakitangan kerajaan.

"Memang ada Pekeliling Ketua Hakim Negara mengatakan bahawa kes melibatkan kakitangan kerajaan perlu dipercepatkan dan dihabiskan dalam tempoh enam bulan selepas kes didaftarkan," katanya.

Pihaknya berharap prosiding perbicaraan itu nanti dapat dijalankan secara tertutup bagi dua saksi pendakwaan yang dikemukakan, termasuk mangsa.

"Pendakwaan akan memanggil seboleh-bolehnya kesemua 24 orang saksi dan berharap kes pendakwaan melibatkan dua saksi ini dilakukan secara tertutup," katanya.

Pada 26 November lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan Paul Yong untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen kerana tidak mempunyai merit yang mewajarkan permohonan kes didengar di Mahkamah Tinggi.