KEPUTUSAN pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti Jordan Henderson, Roberto Firmino dan Mohamed Salah sebagai kesebelasan utama memberikan peluang kepada pemain simpanan membuktikan kualiti mereka.
Pada pertembungan Merseyside di Anfield pagi tadi, James Milner, Adam Lallana, Divock Origi dan Xherdan Shaqiri menampilkan aksi memukau memberikan kemenangan selesa buat The Red walaupun bolos dua gol.
Dua jaringan daripada Origi dan tiga gol masing-masing disumbangkan oleh Shaqiri, Sadio Mane dan Wijnaldum memberikan kemenangan 5-2 ke atas Everton sekaligus meletakkan pasukan itu kekal sebagai pendahulu liga dengan lapan mata di hadapan Leicester City.
Klopp berkata, pasukannya perlu berdepan dengan jadual padat sepanjang Disember dengan sembilan perlawanan dalam tempoh 26 hari.
"Pertemuan dengan Everton ini hanya permulaan kepada jadual padat pasukan kami.
"Sebagai pengurus saya pentingkan keadaan pemain kerana mereka akan kepenatan atau berpotensi untuk cedera.
"Mereka bermain dengan baik bila Origi dan Shaqiri yang kembali daripada kecederaan bermain 90 minit menghasilkan gol," katanya.
Liverpool akan berkunjung ke Stadium Vitality bagi mengadapi perlawanan menentang Bournemouth Sabtu ini.