22 'scammer' warga China mengaku salah

Iklan
Sebahagian tertuduh warga China dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan menawarkan pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian dan perjudian terbuka, November lalu.

MELAKA TENGAH - Seramai 51 warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas tuduhan menawarkan pinjaman wang tidak wujud dalam talian dan perjudian terbuka, November lalu.

Daripada jumlah itu, 22 tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara sebulan bermula tarikh direman pada 19 November dan denda RM20,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menguruskan komputer riba dan telefon bimbit selain menjadikan rumah sebagai pusat perjudian terbuka.

Iklan
Iklan

Kesemua tertuduh berusia 25 hingga 45 tahun membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di Taman Kota Bendahari, Klebang Besar di sini, antara jam 4 petang dan 4.10 petang, 19 November 2019 mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Sekumpulan tertuduh ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret dan Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Iklan

Sementara itu, 29 lagi tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menjalankan kegiatan penipuan pemberi pinjaman wang secara dalam talian yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa dari negara China dengan 16 tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Norma Ismail, manakala 13 lagi di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama, pada 19 dan 20 November lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Anis Najwa Nazari, Intan Lyiana Zainal Abidin, Hayatul Wirdah Mohd Yunos dan Lee Wai Yi.

Kesemua tertuduh pula diwakili peguam Thomas Chin dan H P Ooi.

Tertuduh tidak diberikan jaminan dan mahkamah menetapkan 8 Januari untuk sebutan semula kes.