KEMAMAN - Berselindung di sebalik perniagaan aksesori haiwan peliharaan, sebuah premis diserbu polis setelah disyaki menjalankan kegiatan loteri awam tanpa lesen di Binjai, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, premis yang terletak di Binjai itu diserbu dalam operasi pencegahan jenayah yang bermula dari jam dua petang dan berakhir jam lapan malam.
Iklan
Iklan
Menurutnya, operasi itu dijalankan setelah mendapat maklumat tentang kegiatan loteri awam tanpa lesen di premis berkenaan.
"Kita telah menahan seorang lelaki berusia 18 tahun yang disyaki menjalankan kegiatan itu dan seorang lelaki berusia 51 tahun, disyaki memiliki slip loteri awam tanpa lesen.
"Selain itu, kita turut merampas sebuah telefon bimbit, kalkulator, ‘mobile printer’, pen, wang tunai dan slip kertas yang tertera angka-angka nombor loteri awam tanpa lesen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Jelasnya, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau turut mengingatkan kepada peminat judi haram agar jangan sesekali terlibat dalam kegiatan berkenaan kerana polis kini mula menangkap pembeli dan peniaga yang menjalankan aktiviti itu tanpa lesen.