PEKAN - Polis menumpaskan sindiket mencuri motosikal yang dikenali sebagai Geng Iki pada 2 November lalu selepas menahan lima lelaki yang bergiat aktif menjalankan kegiatan itu di sekitar daerah ini.
Polis turut merampas pelbagai motosikal serta komponennya yang sudah dileraikan ketika serbuan kira-kira jam 3.25 petang di sebuah rumah di Kampung Kolam Puteri di sini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, kumpulan yang dianggotai lelaki berusia antara 22 hingga 38 tahun itu aktif sejak Mei lalu.
"Melalui tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan 13 kes curi motosikal di sekitar Pekan. Bagaimanapun kami percaya masih ada lagi saki-baki baki ahli kumpulan itu selepas siasatan ke atas suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan hari ini.
Mohd Razali berkata, empat daripada lima suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan curi serta pernah menerima hukuman penjara.
Katanya lagi, serbuan ke atas suspek dilakukan pegawai dan anggota Task Force Lejang dari Jabatan Siasatan Jenayah di IPD Pekan dengan mengekori mereka yang menunggang motosikal curi di hadapan sebuah kedai membaiki motosikal di Pekan lama.
Menurutnya, kedua suspek itu kemudiannya memberi maklumat berhubung lokasi penyimpanan motosikal yang dicuri di Kampung Kolam Puteri di sini.
"Hasil siasatan polis menemui tujuh motosikal dalam keadaan baik dan pelbagai komponen motosikal yang telah dileraikan.
"Kita dapati kumpulan ini menyasarkan motosikal jenis Yahama 125Z, Honda EX5, Yamaha LC dan Lagenda," katanya.
Beliau memaklumkan motosikal yang dicuri digunakan oleh suspek untuk berlumba dan komponen kecil seperti lampu, meter motosikal dan cover set dijual kepada orang awam.
Kesemua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan juga dikenakan denda.