TOKYO - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mencadangkan pendidikan berorientasi pembaharuan dilaksanakan bagi memupuk golongan pelajar dan sarjana untuk melakukan lebih banyak kajian serta inovasi demi manfaat semua pihak.
Jelas beliau, pendidikan berorientasikan pembaharuan memerlukan pihak terbabit sentiasa berfikir kreatif bagi meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran di universiti.
"Ini adalah satu falsafah pendidikan yang membawa kita untuk mencipta idea baharu yang akan memberi manfaat kepada orang ramai.
"Dalam jangka masa panjang, saya percaya idea mengenai pendidikan yang berorientasikan pembaharuan akan dapat menjadikan universiti dinamik dan institusi pendidikan lain bertindak sebagai agen perubahan positif dalam masyarakat dan dunia.
"Ini adalah teras visi Malaysia untuk universiti dengan idea utama menjadikan universiti untuk masyarakat,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana di Universiti Shukutoku di Chiba di sini hari ini.
Terdahulu, Maszlee menerima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat dari universiti tersebut yang disampaikan Canselor Daijo Shukutoku Gakuen, Dr Hasegawa Masatoshi sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Turut sama menyaksikan majlis tersebut ialah Presiden Universiti Shukutoku, Profesor Isooka Tetsuya dan Datuk Bandar Itabashi, Sakamoto Takeshi.
Maszlee melakukan lawatan kerja selama dua hari di Tokyo bagi meneroka kerjasama baharu dalam bidang pendidikan yang bermula semalam dan berakhir hari ini.
Selain itu Maszlee memberitahu, Kementerian Pendidikan kini sedang berusaha menghadapi cabaran yang lebih besar terutama dalam sistem pendidikan tinggi global.
"Kami memberi tumpuan dan usaha serius terhadap pelaksanaan keterangkuman kerana percaya pendidikan adalah untuk semua dan bukan hanya untuk golongan istimewa yang mewah serta elit.
"Kami cuba memasukkan dan mendapatkan semua orang untuk melibatkan diri dalam pendidikan,” kata beliau.
Sehubungan itu, Maszlee berkata, perkongsian global strategik dengan Jepun, adalah saluran penting supaya dapat memberikan hala tuju berkaitan polisi, cadangan dan prestasi pendidikan di Malaysia.
"Perkongsian strategik ini juga boleh digunakan untuk memperbaharui tahap daya saing kami dan juga terus memacu pertumbuhan untuk ekosistem pendidikan tinggi negara meliputi komponen kritikal seperti pembiayaan, tadbir urus, inovasi, pengantarabangsaan, digitalisasi dan penyampaian.
"Hanya dengan itu kita dapat mencapai hasil untuk para pemegang taruh utama dalam sistem pendidikan tinggi yang terdiri daripada graduan keusahawanan, graduan seimbang, kecemerlangan bakat, graduan aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang berkualiti sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pembelajaran sepanjang hayat," ujar beliau.