MELAKA - Laungan reformasi bergema menyambut ketibaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.
Beliau yang tiba bersama beberapa pemimpin PKR lain pada jam 8.40 malam kemudian menggunakan beca sebagai gimik masuk ke kawasan dewan utama MITC.
Azmin yang memakai baju Melayu ungu muda mengayuh beca membawa Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.
Turut mengiringi, Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Azmin hadir bagi majlis perasmian bersama Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan kali ke-14 yang bermula hari ini.
Sebelum ini, isu siapa yang merasmikan Kongres AMK timbul apabila secara tradisinya dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR namun pada tahun ini tradisi itu bertukar Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijemput hadir menyempurnakan acara berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan beberapa ahli AMK termasuk Muhammad Hilman tidak berpuas hati dengan pilihan itu.
Bagaimanapun semalam, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Biro Politik Khas PKR memutuskan Mohamed Azmin akan merasmikan Kongres AMK dan Wanita esok manakala Dr Wan Azizah hadir menyempurnakan majlis penutup kedua-dua acara itu pada Jumaat ini.