SETIU - Musim tengkujuh diibaratkan musibah namun membuka pintu rezeki kepada golongan yang gemar melakukan aktiviti menjala dan menahan pukat.
Limpahan air membawa bersama pelbagai jenis spesies ikan sungai seperti keli, puyu, baung, lampan dan haruan.
Lebih menarik ikan berkenaan terus dijual kepada pembeli di tepi jalan.
Peneroka, Othman Ismail, 62, dari Felda Selasih berkata, dia akan menahan pukat di kawasan dinaiki air dan mampu memperoleh antara 30 hingga 40kg ikan sehari.
Warga emas itu dibantu anaknya, Faizal, 36, dan mereka akan menahan pukat di lokasi tertentu seawal jam 7 pagi menaiki bot fiber sebelum kembali semula mengangkat pukat berkenaan ketika tengah hari.
"Jumlah ikan yang dapat tidak menentu, sehari mungkin boleh dapat 30 kilogram dan selepas dinaikkan, saya terus jual kepada orang ramai di tepi jalan. Mereka berhenti, pilih ikan dan bayar.
"Ikan keli, lampan jawa dan baung dijual sekitar RM15 sekilogram manakala puyu, haruan pula antara RM10 hingga RM12 sekilogram bergantung kepada saiz dan jenis ikan.
"Alhamdulillah, sambutannya begitu menggalakkan. Dalam tempoh lebih sejam ikan-ikan ini boleh habis dijual kepada penggemar ikan darat,” katanya ketika ditemui di Kampung Nyatuh di sini semalam.
Othman berkata, aktiviti menahan pukat pada musim tengkujuh sudah sebati dalam dirinya sejak 10 tahun lalu dan hobi itu mampu memberinya pendapatan sehingga RM200 sehari.
Selain Kampung Nyatuh katanya, dia turut menahan pukat di lokasi di sekitar Besut dan Setiu bergantung kepada keadaan semasa paras air serta cuaca.
"Selain ikan darat segar, saya turut menjual ikan kawan dan terubuk pekasam dengan harga RM10 sebotol,” katanya.