SEJAK kecil, Merak Jalanan sering diasuh dan diajar untuk menghormati orang tua, malah dalam budaya Melayu, sudah menjadi adat kita untuk bersalaman dan mencium tangan orang yang lebih tua.
Biasanya, dalam susur galur keluarga, kita akan mencium tangan ibu bapa, nenek serta datuk dan tidak ketinggalan ibu bapa saudara. Kita juga mungkin mencium tangan guru, pensyarah atau orang tua yang kita sangat hormati.
Ia satu seni dan adat yang sangat murni dalam budaya masyarakat Melayu dan orang Malaysia.
Baru-baru ini contohnya, Merak Jalanan kagum dengan amalan yang diterapkan dalam kalangan pelajar Sekolah Kebangsaan Luagan, Keningau, Sabah yang bersalaman dan mencium tangan pengawal keselamatan sekolah setiap kali masuk ke pekarangan sekolah.
Rupa-rupanya amalan tersebut diterapkan pihak sekolah sejak lapan tahun lalu. Maka tidak hairanlah video rakaman tersebut lekas tular dan menjadi buah mulut rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, amalan cium tangan ini sebenarnya dalam kehidupan seharian membawa makna lebih daripada sekadar hormat. Ia adakalanya menjadi amalan untuk membeli jiwa dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu habuan.
Merak Jalanan sendiri yang pernah bertugas dalam bidang hiburan pernah berdepan pengalaman unik. Agak pelik juga, apabila hampir semua artis pucuk muda yang datang bertemu akan mencium tangan ketika bersalam. Sedangkan umur artis itu dengan Merak Jalanan tak jauh beza pun.
Rupa-rupanya salam mencium tangan sememangnya antara seni beli jiwa dalam bidang hiburan.
Namun, ternyata seni tersebut juga sangat popular dalam kalangan orang politik. Malah, tidak menghairankan juga ada ahli Parlimen mencium tangan ahli Parlimen lain yang mungkin lebih tua atau berjawatan lebih tinggi sedangkan tidak sealiran politik.
Namun, bagi Merak Jalanan budaya membodek dengan mencium tangan terutamanya untuk mendapatkan projek bukanlah satu amalan murni.