SEMEWAH rekaannya, jam tangan Serpenti Misteriosi Romani menjadi yang paling mahal pernah dicipta dalam industri pembuatan aksesori masa dunia dengan harga hampir mencecah dua juta Euro (RM9.2 juta).
Lebih mengagumkan, karya teragung Bvlgari yang melambangkan gladiator purba dan permata antik itu dihiasi batu nilam biru di atas kepala dan mata ular dengan kekemasan berlian cukup menggoda.
Sekali pandang, tidak ubah seperti perhiasan emas Cleopatra yang terkenal ketika zaman primitif Mesir dengan harga tidak masuk akal.
Tetapi itulah keunikan Bvlgari yang bijak menggabungkan seni ukiran perhiasan dalam rekaan jam tangan sehingga diiktiraf sebagai Jeweller of Time.
Bukan itu sahaja, jam tangan Octo Finissimo Chronograph GMT Automatic turut menerima pengiktirafan sama apabila berjaya menarik perhatian juri sempena Grand Prix D’Horlogerie De Geneve 2019 baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan media, pengiktirafan umpama anugerah ‘Oscars’ tersebut sebagai satu penghormatan terhadap inovasi ceria dan kreativiti Bvlgari dalam setiap ciptaannya.
"Penghargaan berprestij itu turut memperakui keanggunan gabungan pakar Swiss dengan rekaan sangat inventif persis gaya Itali,” katanya.