ALLAH tidak pernah pilih kasih

Iklan
USTAZ ABU RABBANI (depan, tiga dari kiri) bersama peserta Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour 12.0 di Putrajaya baru-baru ini.

"SURAH al-Rahman mengajak kita untuk mengenal ALLAH yang Maha Pengasih, iaitu al-Rahman. ALLAH SWT tidak pernah memilih kasih kepada semua makhluk-NYA yang beriman mahupun tidak.”

Demikian kata Pengasas dan Master Trainer Metode Quantum Reading al-Quran (QRQ), Ustaz Abu Rabbani pada sesi tadabbur surah berkenaan di Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour 12.0 pada 14 November lalu.

Iklan
Iklan

Barangkali ada yang mengatakan ALLAH SWT tidak adil. Pun begitu, beliau menjelaskan, begitu banyak nikmat yang dikurniakan Pencipta segala makhluk itu hingga tidak terhitung jumlahnya.

"ALLAH SWT tidak pernah mengurangkan nikmatnya atau memutuskan rezeki kepada hamba-NYA walaupun ada kalangan mereka tidak taat dengan perintah-NYA. Contohnya, udara yang dihirup tanpa batasan untuk kita hidup,” jelas beliau pada program tersebut di Putrajaya baru-baru ini.

Iklan

ALLAH SWT berfirman: "Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya, ALLAH benar-benar Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Nahl, ayat 18)

Al-Quran nikmat tertinggi

Iklan

Ketahuilah bahawa al-Quran merupakan nikmat tertinggi yang ALLAH anugerahkan kepada hamba-hamba-NYA, sebagaimana disebut dalam Surah al-Rahman, ayat 2.

Kehidupan kita berbahagia di dunia dan di akhirat dengan berpandukan kepada al-Quran dan hadis peninggalan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: "Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Rasulullah SAW.” (Riwayat Imam Malik)

Sebelum itu, Ustaz Abu Rabbani berkongsi kaedah QRQ kepada 60 peserta Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour di atas Cruise Putrajaya sepanjang dua jam program itu berlangsung, bermula jam 10 pagi.

"QRQ merupakan kaedah mudah membaca al-Quran secara tartil dalam masa tiga jam di bawah program Excellence Training QRQ.

"Bacaan al-Quran secara tartil meliputi konsisten membaca harakat meliputi ‘mad’ dan ‘ghunnah’, fasih pengucapan huruf (makhraj dan sifat), memahami waqaf, ibtida’ dan ayat-ayat gharibah (ayat-ayat khusus dan istilah dalam al-Quran).

"Kaedah QRQ mampu mendorong orang ramai untuk mempelajari al-Quran, seterusnya membaca, memahami dan mengamalkannya sehingga merasakan tidak lengkap hari yang dilalui tanpa membaca al-Quran,” katanya.

Seawal 8.30 pagi, peserta berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk bersarapan pagi dan menunaikan solat Dhuha berjemaah.

Mereka kemudian pergi ke jeti Umai Cafe untuk menaiki cruise di bawah pengendalian Marina Putrajaya Sdn Bhd untuk ‘perjalanan’ kerohanian.

Program berinteraksi dengan al-Quran itu dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memberi pengalaman ‘perjalanan’ kerohanian kepada peserta.

Sesiapa yang berminat untuk menyertai Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour boleh menghubungi Pengurus Projek Cruise Putrajaya #QuranHour, Rozalina Mohamed di 013-394 6471.