MELAKA TENGAH - Pihak yang didakwa menimbulkan kekecohan di pintu utama dewan tempat berlangsungnya Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) bukan dalam kalangan perwakilan, sebaliknya disifatkan sebagai 'pemerhati tidak sah'.
Naib Ketua AMK Cabang Shah Alam, Muhammad Izuan Ahmad Kasim, 28, berkata, beliau yang ketika itu mahu memasuki dewan pada mulanya turut menyangka pihak terlibat adalah jawatankuasa keselamatan kerana mereka sebelumnya dilihat cuba memasuki dewan melalui pintu belakang.
Bagaimanapun, beliau menyedari kumpulan berkenaan sebagai 'pemerhati' selepas memasuki dewan berikutan kawasan dalam dewan sesak dengan pemerhati tanpa tag menyebabkan ada perwakilan terpaksa berdiri kerana tidak mendapat tempat duduk.
"Bila lihat apa yang berlaku, memang pelik dengan kewujudan kumpulan itu dan sebenarnya dewan itu muat untuk semua perwakilan AMK," katanya ketika ditemui ketika Kongres Nasional Tahunan AMK 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Izuan turut kesal dengan insiden terbabit berkata, keadaan tersebut tidak menggambarkan semangat reformasi yang dilaungkan dalam parti.
Dalam masa sama dakwanya, kawalan keselamatan terhadap kemasukan pemerhati juga dilihat tidak ketat, tidak sebagaimana kawalan dilaksanakan ke atas perwakilan.
"Bila melihat mereka berbaju hitam itu tidak memakai tag dan usia bawah 20-an, kami cuba minta Mykad, malangnya tiada seorang pun berani berikan dan berlaku kekecohan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kekecohan berlaku apabila didakwa lebih 100 perwakilan tidak dapat memasuki Dewan Klasik Room di tempat berlangsungnya Kongres AMK hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: