Polis buru lelaki sembur cat hitam di gereja

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang melakukan khianat dengan menyembur cat hitam ke beberapa buah patung dan lantai di Gereja St Anne di Jalan Kulim, di sini dalam kejadian kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, polis telah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam gereja itu dan berjaya mengenal pasti lelaki berkenaan dipercayai berusia 40-an.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, seorang pekerja di situ memaklumkan kepada pengurus keselamatan di gereja berkenaan berhubung tindakan seorang lelaki yang menyembur cat hitam ke atas patung dan lantai di bahagian dalam serta luar rumah ibadat tersebut.

Menurutnya, pengurus keselamatan itu terus ke tempat lelaki yang menyembur cat dan bertanya alasan dia berbuat demikian sebelum suspek memarahi pekerja serta pengurus keselamatan berkenaan.

Iklan

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudiannya meminta pen daripada pengurus keselamatan itu sebelum dia menulis sesuatu di atas sekeping kertas yang dibawanya dan menyerahkan kepada lelaki tersebut.

"Suspek kemudiannya terus beredar dari gereja itu dengan menaiki sebuah motosikal yang diletakkan di pekarangan rumah ibadat itu," katanya.

Iklan

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal daripada pekerja dan pengurus keselamatan itu, mereka tidak mengenali lelaki berkenaan, malah dia juga dipercayai tidak pernah datang ke rumah ibadat itu sebelum ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama