Tunggakan sewa PPA, PPR di Kedah cecah RM30 juta: Exco

Iklan
Kok Yew memasang pemadam api di Blok A Flat Alor Malai padaProgram Keselamatan Kebakaran dan Demonstrasi Pencegahan Dapur di Flat Alor Malai di sini hari ini.

ALOR SETAR - Tunggakan bayaran sewa melibatkan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dilaporkan serius di seluruh Kedah.

Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, isu tunggakan bayaran sewa berkenaan melibatkan 80 projek termasuk PPR dan PPA di negeri itu.

Iklan
Iklan

Kok Yew berkata, beliau menganggarkan jumlah tunggakan terkumpul setakat ini lebih RM30 juta melibatkan penghuni perumahan di seluruh Kedah.

"Kegagalan sebilangan penghuni perumahan memberi kesukaran misalnya seperti kos pembaikan tidak mencukupi.

Iklan

"Tunggakan sewa berlaku disebabkan masalah dialami rakyat. Bagaimanapun kita sedia berunding dengan penghuni untuk mencari jalan penyelesaian," katanya selepas Program Keselamatan Kebakaran dan Demonstrasi Pencegahan Dapur di Flat Alor Malai di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati usaha-usaha diambil kerajaan negeri membolehkan berlakunya pengurangan dari tunggakan sewa bayaran sewa penghuni perumahan berbanding sebelum ini.

Iklan
Tan Kok Yew

Katanya, pihaknya mengambil beberapa tindakan termasuklah mengadakan pertemuan dengan penghuni demi memberi penjelasan sekali gus menyelami masalah dialami penduduk terbabit.

"Kami harap penghuni perumahan berkaitan bayar ikut masa ditetapkan. Bagaimanapun sekiranya mempunyai masalah, mereka boleh maklumkan kepada kita dan jangan melarikan diri," katanya.

Dalam perkembangan lain Kok Yew berkata, beliau berharap penghuni dapat menyalurkan maklumat sekiranya mendapati ada unit kosong ataupun mengesan ada penduduk cuba mengaut untung dengan melakukan sewa atas sewa.

"Kita akan ambil tindakan, jikalau ada penghuni cuba menyewa unit mereka kepada orang lain. Mereka tidak sepatutnya ambil kesempatan, sebaliknya menyerahkan unit perumahan itu kepada kerajaan negeri supaya kita dapat beri kepada orang tidak berkemampuan," katanya.

Terdahulu, sebanyak 24 unit alat pemadam api disumbangkan kepada penduduk Flat Alor Malai melalui program anjuran Persatuan Pembangunan Masyarakat Padiraya (PPMP) bersama Persatuan Penduduk Alor Malai, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Alor Malai, Pusat Khidmat Derga dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah.

Katanya, penduduk termasuk suri rumah didedahkan kaedah menggunakan alat pemadam api sekali gus membolehkan mereka mengambil langkah pencegahan jika berlaku kejadian tidak diingini ekoran kebakaran dikhuatiri menjadi antara punca kematian.