Permohonan ketepi prosiding komital Lokman Adam 9 Januari

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan 9 Januari tahun hadapan bagi mendengar permohonan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bagi mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding pengkomitan terhadapnya kerana didakwa mengugut seorang saksi dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes hari ini.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa. Kunyalam yang mewakili pihak Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya baru menerima satu afidavit daripada pihak pembelaan untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital itu.

Beliau berkata, pihak pendakwaan memerlukan masa dua minggu untuk meneliti dan menjawab afidavit itu.

Iklan

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Lokman Noor.

Sementara itu, mengenai afidavit pihak pendakwaan untuk meminda pernyataan berkaitan prosiding komital, Hakim Sequerah berkata, mahkamah akan melihat perkara itu selepas pendengaran untuk mengetepikan permohonan kebenaran memulakan prosiding komital selesai.

Iklan

Pada 22 Oktober lepas, Hakim Sequerah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 September.

Dalam permohonan itu, Peguam Negara memohon perintah supaya Lokman Noor selaku responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.

Peguam Negara berkata, pada tarikh itu (25 September), responden dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut saksi, Amhari Efendi yang merupakan bekas pegawai khas Najib kerana memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi.

Peguam Negara berkata, beliau juga akan memainkan rakaman video berhubung temu bual itu pada pendengaran prosiding komital jika mahkamah memberi kebenaran kepadanya untuk memulakan prosiding berkenaan.

Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman Noor telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.

Katanya, objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap tertuduh pada perbicaraan. - Bernama