Wanita dipenjara tiga tahun kerana pecah amanah lebih RM144,000

Iklan

SEREMBAN - Seorang bekas Pembantu Eksekutif Akaun Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas 60 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM144,480.20, lapan tahun lepas.

Hakim Diana Md Razali menjatuhkan hukuman itu ke atas Kamrizah Kamarudin, 49, selepas dia mengaku bersalah atas 60 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 60, wanita itu didakwa melakukan pecah amanah dengan memalsukan tandatangan majikan dan membuat tuntutan palsu yang dibayar menerusi cek Bank Islam Malaysia Berhad kepada syarikat yang didaftarkan atas namanya sendiri iaitu Maziela Enterprise.

Iklan

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Suite 1-2, Wisma Arab Malaysia, Jalan Tuanku Munawir di Seremban, pada 5 Januari 2011 sehingga 24 September 2012.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Iklan

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Noralis memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh memandangkan dia merupakan orang yang diamanahkan dalam institusi Islam selain kesalahan yang dilakukan merupakan jenayah terancang.

Kamrizah pula dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan memandangkan dia merupakan ibu tunggal dan baru kematian suami selain mempunyai tanggungan seorang anak perempuan.

"Wang yang diambil adalah untuk membayar pinjaman ah long dan bukan untuk kegunaan sendiri,” katanya. - Bernama