'Bantu mangsa banjir dengan ikhlas, bukan kejar populariti' - Agong

Iklan
Sultan Abdullah

KUANTAN - Semua agensi dan pihak yang terlibat pengurusan bencana termasuk pemimpin setempat diminta menjalankan tanggungjawab secara bersama dan tidak hanya untuk meraih populariti atau nama semata-mata.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, setiap tugas yang diamanahkan itu perlu dilaksanakan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Iklan
Iklan

Baginda juga mengingatkan agar agensi atau pihak berkaitan tidak mengambil kesempatan dan mengejar nama atau kedudukan.

"Saya harap mereka yang bertugas tidak mengambil kesempatan untuk keuntungan diri sendiri atau semata-mata untuk meraih undi atau untuk menaikkan nama sendiri.

Iklan

"Harap perkara seperti ini (keuntungan untuk diri sendiri) tidak berlaku dan bantulah secara ikhlas.. tolong dia (mangsa) kalau dia masih lagi dilanda masalah bantuan harus diberikan.

"Kalau ada keupayaan untuk bersedekah...kita bersedekah...kalau ada keupayaan untuk beri sehelai dua baju...hulurkan sedikit kepada mereka, kalau kita ada beras yang lebih.. hulurkanlah.. ini sedikit sebanyak sifat positif dan ikhlas dalam membantu," titah baginda.

Iklan

Sultan Abdullah mencemar duli mendengar Taklimat Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang 2019/2020 oleh Abd Jalil di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian selepas mencemar duli mendengar Taklimat Pengurusan Bencana Banjir Negeri Pahang 2019/2020 oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Baginda berpuas hati dengan taklimat dan persediaan yang sudah dilakukan kerajaan Pahang dalam menghadapi bencana banjir setakat ini.

"Sebenarnya saya juga sudah diberikan taklimat mengenai persiapan agensi berkaitan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara yang juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

"Saya berharap semua persiapan ini dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah jika banjir besar melanda Pahang atau negeri lain," titahnya.

Dalam taklimat itu, Abd Jalil memaklumkan sebanyak 691 pusat penempatan sementara (PPS) membabitkan sekolah, masjid dan surau serta dewan orang ramai yang mampu memuatkan kira-kira 156,000 mangsa banjir disediakan di seluruh negeri.

Katanya, ini antara persiapan yang sudah dilakukan bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula awal Oktober lalu dan dijangka berakhir Mac tahun hadapan.

Abd Jalil menambah, kerajaan negeri juga menyediakan 118 pangkalan hadapan bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas dapat diagihkan segera kepada penduduk yang berada di PPS terbabit.

Mengulas lanjut mengenai taklimat itu, Sultan Abdullah berkata, pihak bertanggungjawab menguruskan PPS memastikan segala kemudahan asas diperlukan dapat disediakan dengan sempurna.

"Saya ada beberapa kali melawat PPS sebelum ini dan antaranya tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya... ada bilik air yang tidak mempunyai bekalan air, jadi ini peliklah... bilik air sepatutnya ada air, kalau air pun tidak ada, itu bukan namanya bilik air.

"Selain itu, saya juga ingin mengingatkan kepada semua pihak, sama ada pihak keselamatan atau mangsa banjir kena sama-sama memainkan peranan dan tidak melepaskan tanggungjawab kepada pihak tertentu semata-mata.

"Sebagai contoh, isu kebersihan di PPS, kita tidak boleh serahkan (tanggungjawab) kepada pihak berkenaan sahaja, penduduk yang berada di situ juga kena ambil perhatian dan bersama-sama memastikan persekitaran berada dalam keadaan bersih untuk keselesaan mereka," titahnya.

Baginda bertitah, semua pihak perlu peka kesukaran dihadapi mangsa banjir di mana kediaman mereka rosak ditenggelami air.

"Jadi kita perlu membantu mereka dengan sebaik mungkin," katanya.