KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berpandangan Pemuda UMNO tidak boleh terlalu ghairah mengangkat Muafakat Nasional sebagai sebuah institusi.
Menurutnya, mereka perlu bersikap lebih realistik dengan kedudukan sebagai pembangkang.
"Apa sekali pun kita kena realistik. Kita bukan kerajaan. Kita tak boleh kata kita nak bentuk sesuatu pakatan begitu mudah sekali.
"Jadi saya rasa kita tidak boleh terlalu ghairah kata kita sudah dapat tubuhkan satu persepakatan, tak ada.
"Setakat ini tiada sebarang kesepakatan atau namanya pakatan atau apa pun pakatan. Tapi semangat itu (Muafakat Nasional) tidak menjadi masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam supaya Muafakat Nasional segera diangkat menjadi sebuah institusi yang dianggotai pelbagai parti termasuk komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.
Dalam pada itu ditanya sama ada MCA bersedia berada di bawah satu institusi atas nama Muafakat Nasional, Ka Seong meminta wartawan bertanya kepada beliau apabila tiba masanya.
"Sekiranya? Bila sampai waktunya, you (awak) tanya saya. Sebab itu saya yakin sekarang kerajaan Pakatan Harapan (PH) dia akan buat apa juga supaya ianya tidak berjaya.
"Kita kena realistik. Sebab itu saya bukannya orang yang suka membuat andaian macam-macam. Kalau kita sekarang bukan kerajaan, kita membuat satu andaian yang bukan-bukan..tak realistik," katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, MCA sentiasa mendukung semangat Muafakat Nasional kerana ia mempunyai nilai-nilai sejagat demi perpaduan semua pihak
"Muafakat Nasional bersifat inklusif, kesederhanaan dan mengambil kira pandangan atau menghormati kaum dan agama... saya rasa itulah nilai sejagat yang kita dukung. Bermaksud kalau kita nak sokong semangat Muafakat Nasional, apa salahnya," katanya.