'Berani berdepan kritikan bukti PH amal demokrasi matang'

Iklan
Mohamad menyampaikan ucapan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang diadakan di IDCC, Shah Alam hari ini. - FOTO ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Keberanian kerajaan Pakatan Harapan (PH) berdepan kritikan dan teguran rakyat serta parti pembangkang secara terbuka membuktikan kerajaan mengamalkan demokrasi matang dan dinamis.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, dari satu segi, pencapaian dikecapi Amanah dan PH khususnya sikap terbuka dalam pentadbiran kerajaan menyebabkan mereka menjadi 'mangsa' pembangkang yang mengambil peluang menghentam pakatan tersebut dengan teruk.

Iklan
Iklan

Namun, beliau menegaskan hal ini bertepatan dengan iltizam dan janji PH untuk berlaku adil dengan semua pihak termasuk pembangkang.

"Kita memahami perubahan-perubahan dibuat setakat ini belum memadai khususnya bagi rakyat yang menanti selama 60 tahun di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Iklan

"Namun kejayaan-kejayaan berlaku dalam tempoh tidak sampai dua tahun PH memerintah, adalah permulaan kejayaan sangat besar.

"Kita juga berjanji tidak akan mengulangi kegagalan kerajaan BN membuka ruang dan demokrasi telus kepada seluruh rakyat ketika mereka memerintah dahulu," katanya sewaktu menyampaikan Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Penasihat Amanah, Datuk Ahmad Awang; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Naib Presiden Amanah; Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ketua Pemuda Amanah, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Konvensyen kali keempat diadakan bermula hari ini sehingga 8 Disember dihadiri 925 perwakilan dari seluruh negara yang bakal menyaksikan berlakunya proses pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pimpinan Tertinggi parti buat julung kali.

Konvensyen kali ini bertemakan 'Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama'.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, Amanah sebagai komponen PH akan berterusan memastikan berlakunya peningkatan usaha kerajaan membaik pulih negara, taraf hidup rakyat dan melaksanakan janji-janji dalam manifesto PH dalam pilihan raya lalu.

"Amat pelik apabila pembangkang menguar-uarkan kerajaan PH tidak menunaikan janji pilihan raya dalam keadaan usia kerajaan baru setahun setengah dan telah menunaikan lebih 60 peratus manifesto PH," katanya.